Followers

7.21.2008

Liwat, Debat dan Muzakarah...

Setelah media perdana kecoh dengan dakwaan liwat yang membabitkan seorang individu penting dalam kancah politik Malaysia. Masing-masing telah maklum siapa yang mengaku diliwat dan siapa yang dituduh meliwat. Secara logik kampungnya, adakah mampu seorang yang berumur sekitar 60'an yang pernah mengalami kesakitan yang serius pada pinggangnya sewaktu dijadikan 'punch bag' oleh bekas KPN waktu beliau menghadapi tuduhan yang sama sewaktu ketika dahulu mampu untuk melakukan perkara terkutuk itu terhadap seorang pemuda yang gagah perkasa lagi kekar tubuh badannya. Apakah si Saiful Bukhari ini begitu lurus? Disuruh buat itu dibuat, disuruh buat ini dibuat. Jika begitu, layakkah dia menjadi seorang yang penting sewaktu berada dalam gerakan mahasiswa dahulu? Saya enggan mengulas panjang tentang perkara ini, kerana pastinya ramai yang sudah cuak dengan drama lama yang ingin diulang tayang kembali.

Disaat negara kepeningan mendengar dua pengakuan sumpah penyiasat persendirian 'Bala' yang saling bercanggahan antara satu sama lain, sekali lagi membiaknya persoalan di minda mereka yang mengikuti isu ini dengan kehilangan Bala.Siapa ugut siapa? Hanya Allah, Bala dan individu yang terlibat mengetahui dengan lebih jelas tentang perkara ini.

Lalu, berlangsungnya pula isu debat yang melibatkan menteri penerangan Malaysia, Dato' Shaberry Cheek dengan DSAI. Pasti ramai yang menyampah kepada ucapan menteri penerangan itu kerana tiada point-point yang boleh diambil untuk digunakan dalam menghadapi krisis kenaikan minyak dan inflasi dalam negara ini. Sungguh aneh apabila beliau lebih senang berbicara perkara-perkara yang telah lalu untuk menjatuhkan kredibiliti DSAI pada debat malam itu. Ketenangan yang dipaparkan pada wajah DSAI sedikit sebanyak memberikan kesan kepada penonton betapa mereka mempunyai seorang menteri penerangan yang suka menyerang individu berbanding isu utama yang dibincangkan. Mungkin situasi ini lebih kurang rasa malunya berbanding isu X-menteri penerangan (Zam) perbualannya mengenai demokrasi di Malaysia dengan stesen TV al-Jazeera sebelum PRU dulu.

Kini, stesen TV tempatan diwarnai pula dengan gambar dua bendera iaitu bendera bulan, bendera keris dan juga tulisan MUZAKARAH. Isu ini mendapat liputan yang agak luas dari pak-pak menteri hinggalah pak-pak haji yang leka memakan buah dam di kedai kopi. Namun dalam masa yang sama, media dilihat memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan berlakunya retak dikalangan ahli satu-satunya parti islam di Malaysia ini. Dua tokoh ulama' di dalam PAS kini sering dilihat seolah-olah dilagakan oleh stesen TV tempatan. Ternyata, media di tangan BN amat cemerlang dalam perkara-perkara ini. Namun bagi saya, muzakarah ini adalah muzakarah yang menuntut agar masing-masing tidak terlalu rakus mengejar kuasa hingga mengabaikan agama dan perpaduan melayu. Tidak timbul soal PAS masuk UMNO hatta jika itu berlaku, pasti saya menjadi antara ribuan yang membantah. Kita pernah melalui zaman bersama UMNO dan kita tahu bahananya jika bukan Islam yang dipertuankan.

Oleh itu, selaku pemerhati gelora politik tanah air dan juga penyokong atau pendokong perjuangan Islam, kita jangan sesekali mudah terbuai dengan berita yang disiarkan oleh media milik kerajaan BN kerana perkara itu barangkali boleh menimbulkan perpecahan. Perlu diingatkan juga, bukan hanya berhati-hati dalam menceduk berita dari media perdana, akan tetapi dari mulut-mulut orang juga perlu diteliti. Terkenang almarhum ustaz Fadzil dalam perbahasannya di parlimen ;
"الفتنة نائمة لعن الله من ايقظها"
"Fitnah itu tidur, Allah melaknat orang yang mengejutkan fitnah yang sedang tidur itu."
Jangan kita menjadikan diri kita termasuk dalam golongan yang mendapat murka dan laknat Allah S.W.T dengan sebab mulut kita ringan dalam bercerita sesuatu yang belum sohih dan menyebabkan perpecahan umat Islam. Bagi saya, buat masa ini biarlah pimpinan menentukan dalam perbincangan mereka dan saya mendoakan agar setiap apa yang kita lakukan akan mendapat petunjuk dari yang maha Esa. Unsurni Ya Rabbi...Amin.
Ben Kareem
Meja Usang, Telipot.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih mengomen! Jangan segan-segan untuk meninggalkan perkataan di sini.