Followers

7.07.2008

Tak Sampai Matlamat..

Protes 08' pada 06hb Julai 2008 sepatutnya menjadi medan bagi rakyat untuk membolehkan kerajaan menilai kezaliman mereka dalam menaikkan harga minyak secara menggila pada Jun lalu. Namun ianya seolah-olah bertukar rentak apabila perhimpunan yang sepatutnya lebih menjurus ke arah bantahan dibuat seakan-akan karnival pula.

Mungkin ramai yang telah mem'protes' karnival anjuran protes ini. Namun bagi saya, suara dari mahasiswa juga perlu kerana mahasiswa adalah pengganti kepada individu-individu penting yang ada sekarang dan melalui suara yang keluar inilah kita semua dapat menilai sejauh mana mahasiswa pada masa kini peka terhadap isu sekeliling, sejauh mana kemampuan mereka menilai kehebatan individu-individu penting yang ada sekarang dan sejauh mana mereka mampu untuk mengkritik setiap kesalahan yang dilakukan oleh individu-individu yang memainkan peranan yang penting dalam senario politik negara.

Di saat sekatan terhadap kebebasan media di Malaysia kini kian terhakis, seperti lulusnya permit menerbitkan Harakah dari dua kali sebulan kepada dua kali seminggu setelah disunat Pak Lah sewaktu beliau menjadi Menteri Dalam Negeri dulu. Apa dikesalkan disini, kita yang dilabelkan sebagai kerajaan bayangan tidak mengambil peluang ini untuk menyerlahkan lagi kemampuan kita sebagai bakal pemegang tampuk kepimpinan negara.

Perhimpunan Protes 08' sepatutnya menjadi satu perhimpunan yang lebih gah dari perhimpunan 100 ribu rakyat anjuran Bersih kerana mereka yang merasai kesengsaraan kenaikan harga minyak lebih ramai dari yang merasai kesulitan dan kepayahan menentang tipu daya pilihanraya umum ke-12. Akan tetapi, kita tidak menggunakan peluang tersebut dengan baik dengan menganjurkan konsert dan karnival yang tidak menepati ciri mereka yang memprotes. Ada suara yang mengatakan, lirik lagu itu semuanya dicipta sebagai tanda tidak puas hati terhadap kerajaan namun apa maknanya jika nada tersebut tidak didengar dek kerana bisingnya muzik berat yang mereka mainkan.

Rata-rata peserta perhimpunan melahirkan rasa kesal atas insiden 'londeh seluar' oleh vokalis carburator dunk, Alak itu. Walaupun pihak penganjur telah memohon maaf di atas perlakuan kurang sopan itu, namun ianya sedikit sebanyak telah mempengaruhi fikiran mereka yang menyertai perhimpunan ini, adakah ini perhimpunan yang mengutarakan kesengsaraan rakyat?

Untuk akhirnya, segala yang baik itu perlu diteladani dan yang buruk pula perlu dimuhasabah dan dibaiki. Jadikan insiden yang berlaku ini menjadi teladan yang berguna untuk mematangkan kerajaan Pakatan Rakyat, kerana sekali terjatuh pasti kita akan lebih sedar langkah mana yang boleh membuatkan kita terjatuh.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih mengomen! Jangan segan-segan untuk meninggalkan perkataan di sini.