Followers

10.19.2008

Niat Itu Teras!

إنما الأعمال بالنيات, وإنما لكل امرئ ما نوى, فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله, فهجرته إلى الله و رسوله. ومن كانت هجرته لدنيا يصيبها أو امرأة ينكحها, فهجرته إلى ما هاجر إليه.الحديث

Hadith yang cukup masyhur dan saya pasti ramai yang mampu mengingati hadith yang menjadi hadith utama atau pertama bagi kebanyakan kitab-kitab hadith. Hadith yang menjadi pembuka kepada kitab al-Arbaien an-Nawawiyyah ini merupakan satu hadith yang amat penting, sesuai dengan kedudukannya dalam kitab ini.

Rasanya tidak perlu saya menterjemahkan hadith ini kerana saya kira semuanya telah mafhum tentang hadith yang menekankan tentang kepentingan niat dan kemampuannya untuk mempengaruhi sikap dan tabiat kita.

Namun di sana terdapat juga orang yang apabila dibacakan hadith ini, hanya mendengar dengan acuh tak acuh kerana mungkin telah alim benar dengan hadith ini. Masakan tidak, mengaji di Darul Quran dulu hadith ini juga, mendengar kuliah di kampung, hadith ini juga. Pendek kata, terlampau banyak input yang dimasukkan ke dalam kepala kita sehingga ada yang hilang nilai kemampuan untuk mengaplikasikan konsep niat itu dalam kehidupan.

Belajar Niat dan Niat Belajar


"Niat tu senang je, benda yang terlintas dalam hati tu la niat. Tak perlu lafaz-lafaz ni. Lafaz-lafaz ni sekadar nak bagi feel kepada kita nak suruh khusyuk tu datang." Kata seorang ustaz."dan niatlah yang membezakan ibdat dan bukan ibadat" tambahnya lagi. Betul katanya kerana niat letaknya pada hati, dan lafaz niat itu di sisi ulama' feqah seperti Syafie dan lain-lain mazhab yang sependapat dengannya adalah sunat dengan tujuan untuk menghadirkan khusyuk.

Namun, dalam keasyikan kita belajar niat, ada juga yang lupa niat belajar. Ada juga yang sekadar mengisi kekosongan waktu, ada juga yang dipaksa mengikut ayah ke tempat pengajian dan ada juga yang datang dengan pelbagai keadaan lagi.

Niat ini adalah untuk menjelaskan lagi matlamat kita sebenarnya. Niat sememangnya mempengaruhi tindakan dan perilaku seseorang. Bagaimana yang disebutkan oleh Nabi S.A.W dalam hadith di atas. Bagaimana pengaruh niat membawa seorang lelaki turut sama berhijrah dengan niatnya untuk merebut cinta seorang wanita. Akhirnya dia terlepas untuk mendapat ganjaran yang lebih besar iaitu pahala hijrah.

Apa Niat Ke Kuliah?


Untuk teman-teman sepengajian saya yang begitu tekun menuntut ilmu Allah, pastikan niatmu tidak tersasar dari landasan asal untuk mendapat keredhaan Allah kerana pengaruh niat ini mat kuat dalam memastikan ke mana hala tuju dan arah kamu pada masa yang akan datang.

Pesanan saya ini adalah berdasarkan sedikit pengalaman pada waktu lalu yang turut terkesan dengan setiap perubahan yang saya alami setiap kali niat saya untuk belajar berubah. Saya pernah ke Syria dan pernah beberapa kali semasa berada di sana niat saya terpesong ke arah lain.


Apa yang pasti, saya menyarankan kepada anda semua agar masing-masing menyertakan niat itu dengan satu target. Perkara ini disebut jelas dalam hadith di atas, Rasulullah menggariskan bahawa :

NIAT = Hijrah
MATLAMAT =
  1. Redha Allah dan RasulNya
  2. Dunia yang dikejar
  3. Perempuan yang ingin dinikahi.
Perkara yang kita perlu jelas dalam medan menuntut ilmu ini adalah betulnya niat dan jelasnya matlamat. Perkara ini seringkali saya sebut secara berulangkali dalam sesi tazkirah saya. Kejelasan matlamat membawa kita kepada pengurusan yang cemerlang. Tanya diri kita, apa yang kita mahu. Setelah jelas dengan pertanyaan itu, sasarkan pula beberapa cara dan berapa lama masa yang kita perlu ambil dalam mencapai matlamat kita itu.

Manusia adalah ciptaan yang unik kerana apa yang terlintas di dalam fikiran dan apa yang masih mampu difikirkan, pasti mampu dicapai dengan kesungguhan dan inayah dari tuhan. Saya katakan tidak salah untuk bermimpi terbang di awan kerana semamangnya kita mampu buktikan dengan kesungguhan.

Siapa sangka adik beradik Wright mampu menerbangkan besi ke angkasa? siapa sangka Alex Graham Bell mampu menghubungkan orang yang berada berjauhan? siapa sangka teori graviti dapat dirungkaikan? Siapa sangka anda boleh berjaya? semuanya tidak berada dalam sangkaan orang melainkan dalam sangkaan kita sendiri dengan iringan matlamat yang jelas dan niat yang menjadi teras. Berubahlah menjadi lebih hebat dari diri anda sekarang. Perjelaskan matlamat dan berusahalah mencapainya.

Seeru ala BarakaatiLlah.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih mengomen! Jangan segan-segan untuk meninggalkan perkataan di sini.