Followers

11.07.2008

Belasungkawa Ahmad Aduka Alias.


sekadar gambar hiasan


Ahmad Aduka Alias, seorang yang saya kenali sejak dari kecil lagi. Hubungan keluarga beliau dan keluarga saya boleh dikatakan sangat rapat. Bahkan ayah saya pernah belajar mengaji al-quran dengan ayahnya pada suatu ketika dulu.

Arwah Aduka meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya dalam perjalanan menuju ke kuliah. Memang agak sukar saya terima maklumat tersebut. Saya dipanggil oleh ikram, pelajar tahun 2 ketika saya sedang tekun mendengar syarahan ustaz Wan Abdullah dalam menerangkan masalah sighah zihar. “Aduka ‘accident’, ustaz Zaman suruh Ridhuan pergi segera” maklumnya kepada ustaz Wan Abdullah tatkala diminta alasan untuk mengajak saya berurusan di luar kelas.

Saya terkejut, namun saya merasakan situasi yang berlaku di sana tidaklah seteruk yang disangka. Ketika saya bangun untuk meninggalkan kelas, seorang lagi sahabat berkata : “Aduka mati dah, Aduka tak ada dah.. Baru dapat mesej ni”

Saya tak percaya, saya tak akan percaya selagi saya tidak pergi melihat dengan mata kepala saya sendiri. Hatta ketika saya dalam perjalanan ke tempat kejadian pun ada makluman dari seorang lagi sahabat, Azman yang pergi ke sana terlebih dahulu dari saya yang mengatakan bahawa Aduka telah meninggal dunia. Saya sukar untuk menerima dan saya hanya tanamkan dalam hati bahawa Azman belum sampai ke tempat kejadian. Azman hanya sekadar tahu dari orang lain fikir saya.

Sesampainya saya di tempat kemalangan, saya sudah lihat Amir sedang teresak-esak di tepi jalan. Amir memang antara orang yang paling rapat dengan arwah. Dengan dikerumuni orang ramai, saya cuba mencari dimana arwah. Sedang saya menyelinap, saya perasan motosikal yang dinaiki Aduka tersandar di sebatang pohon kelapa.

Setelah melepasi kerumunan orang ramai, akhirnya saya melihat sekujur tubuh yang sudah ditutupi kain batik. Saya melihat ustaz Kamaruzzaman sedang membetulkan tangan arwah, lalu saya duduk dan menolong ustaz Kamaruzzaman . Alangkah hibanya hati saya ketika melihat arwah dengan jaket, baju, seluar yang selalu dipakainya. Memang hati saya terasa sebak, dan saya tak sanggup untuk melihat wajah arwah.

Ustaz Kamaruzzaman mengajak saya pergi ke rumah ibu bapa arwah dalam keadaan saya masih lagi terasa bingung, bingung memikirkan bagaimana halnya dirumah arwah. Ayah arwah uzur, lumpuh separuh badan akibat serangan angin ahmar. Arwahlah yang menjadi harapan keluarga, selaku anak sulung, beliaulah yang menjadi tempat bergantung adik-adik. Macamana saya ingin berhadapan dengan situasi itu. Jika saya seorang, belum tentu saya mampu untuk menghadapi keluarga arwah. Namun, saya percaya, ustaz Kamaruzzaman tentu sudah biasa berhadapan dengan situasi ini.

Sampai di rumah arwah, keluarganya masih lagi tidak betul-betul pasti, mereka maklum tentang kemalangan itu. Tapi masih belum pastikan samada benar atau tidak anak kesayangan mereka itu telah pergi mengadap Ilahi. Saya sengaja menuruni kereta dengan lambat-lambat. Saya biarkan ustaz Kamaruzzaman dan ustaz Rizki memasuki dahulu rumah arwah. Setelah memaklumkan kepada keluarga arwah, barulah saya masuk. Hibanya hati apabila terdengar tangisan ibu yang baru mengetahui anaknya telah pergi terlebih dahulu. Ayahnya pula dalam linangan airmata hanya mengucapkan “Allah, nak buat macamane… MilikMu semua ya Allah.. Beratnya ujianMu ya Allah” . Saya terkelu seribu bahasa, saya hanya menahan airmata dari jatuh keluar. Allah, hebatnya ujianMU yang dikenakan ke atas keluarga ini.

Ibunya masih lagi menangis teresak-esak di dapur ditenangkan oleh jiran-jiran. Setelah keadaan semakin mereda, ustaz mengajak ibu arwah yang dipanggil umi di kalangan anak-anaknya untuk ke hospital juga ditemani seorang adik lelaki arwah. Saya dan Zahid pula ditinggalkan di sini, kata ustaz untuk menenangkan keluarga. Hati saya jatuh hiba lagi disaat ibunya mencium tangan suaminya meminta izin keluar dan sekali lagi menangis teresak-esak.

Saya dan Zahid hanya berpandangan sesama sendiri dan masing-masing menghalakan pandangan ke luar rumah. Menyeka air mata yang hampir jatuh. Pilunya hati melihat ujian yang maha besar menimpa keluarga ini.

Beberapa ketika selepas itu, ramailah yang datang mengucapkan takziah kepada keluarga arwah. Saya sempat menangkap kata-kata yang menuntun hati saya untuk turut menangis apabila ayahnya mengatakan : “ye takdok dose ngan mak ayah ye, ye takdok dose.. Abi ampun blake dah dose die.. Dunia akhirat abi ampun.. Allah beratnya ujianmu ya Allah.” Katanya dalam hiba ditambah dengan airmata yang mengalir dikedua-dua belah pipinya. Saya hanya mampu menyabarkannya.

Menurut laporan doktor, beliau mengalami kecederaan dalaman iaitu pecah limpa akibat dari hentakan kuat selepas merempuh kereta. Apa yang menyedihkan, cerita penduduk setempat, beliau yang jatuh di tepi jalan yang sedikit curang itu sempat merangkak naik ke atas jalan sebelum rebah tidak sedarkan diri dan menghembuskan nafas terakhir di situ.

Setelah selesai urusan pengebumian, saya keesokannya ditemani seorang kawan, Ukasyah pergi menguruskan sijil kematian dan melengkapkan repot polis. Mengikut bahagian pendaftaran kematian, beliau ‘singgah didunia dalam perjalanan menuju Rabbi’ selama 24 tahun, 3 bulan, 27 hari. Saya kini hanya mampu berdoa agar rohnya sentiasa dicucuri rahmat.

“Mati itu barang pasti, setiap yang datang pastikan pergi”

“Tua muda bersilih ganti, semuanya diakhiri seperti dijanji”

“Hanya kumohon kepada Rabbul Izzati, agar diletakkannya di Syurga abadi”


Selamatlah duhai sahabatku, moga Rohmu dicucuri rahmat. Seeru ala barakaatiLlah.


No comments:

Post a Comment

Terima kasih mengomen! Jangan segan-segan untuk meninggalkan perkataan di sini.