Followers

11.15.2008

Wall-E, Teknologi dan kemanusiaan.

Saya tertarik untuk mengetengahkan sedikit dari hasil pembacaan saya tentang perkembangan teknologi dan pengaruhnya kepada masyarakat sekarang. Sememangnya zaman ini penuh dengan cabaran yang memaksa kita selaku orang yang terdahulu yang belum sempat merasai kecanggihan seumpama ini diwaktu kecil kita lebih kreatif untuk menangani kecepatan perkembangan teknologi yang adakalanya membawa pelbagai pengaruh kepada generasi selepas kita.

Dari sekecil-kecil teknologi seperti calculator @ mesin kira hinggalah sebesar-besar teknologi seperti alatan angkasa dan kelengkapan perang. Semuanya membawa seribu macam pengaruh kepada perkembangan akal manusia. Jika negatif cara penggunaannya, maka sudah tentulah negatif juga hasilnya.


Kapal pengangkut Nimitz milik USA

Contoh mudah, teknologi nuklear yang pada asalnya adalah untuk membekalkan tenaga melalui proses penguraian uranium dan mengaktifkan perlanggaran proton dan neutron yang mampu membekalkan tenaga untuk satu jangka masa yang panjang. Bayangkan satu kapsul nuklear setinggi satu hasta dengan ukur lilit kurang lebih 15 sentimeter mampu membekalkan tenaga untuk sebuah kapal pengangkut sebesar Nimitz selama 20 tahun. Ditambah dengan kurangnya risiko pencemaran sepertimana sumber tenaga yang sedia ada iaitu minyak dan gas.


Pengeboman Hiroshima dan Nagasaki yang menjadi parut sejarah kerana hilang nilai kemanusiaan.

Namun atas sebab tidak mahu mencetuskan kesan negatif yang bakal berlaku sepertimana yang telah dicetuskan oleh penjenayah antarabangsa, Amerika pada perang dunia kedua iaitu pada tahun 1945 dahulu. Kesannya berwaris, tragedinya kekal diingati hingga kini. Hebatnya kesan radioaktif yang terdapat dalam nuklear itu, menyebabkan ibu yang mengandung melahirkan anak yang cacat dan rumput-rumput tidak lagi tumbuh dalam satu jangka masa yang panjang bahkan hingga ke hari ini.

Nampak kesannya? Begitu juga dengan teknologi yang lain yang lebih kecil fungsinya dalam memberikan hasil samada sangat positif atau sangat negatif kepada kehidupan kita. Apa yang perlu kita buat bukanlah menafikan teknologi, akan tetapi mengolahnya mengikut acuan yang terbaik dalam dunia iaitu acuan Islam. Semua benda yang harus digunakan mestilah dimaksimakan faedahnya dan diminimakan kesan buruknya. Begitulah cara yang diajar oleh Islam sebagaimana telah tercatit dalam sejarah perkembangan tamadun di zaman khilafah-khilafah lalu yang bijak mengaplikasikan ilmu dari luar untuk faedah kaum muslimin.


Ketekunan cendikiawan muslimin suatu ketika dahulu, wajar disemai kembali

Sinonim dengan kehidupan kita sekarang, zaman yang mana handphone tidak lagi menjadi satu kelengkapan bahkan ianya sudah menjadi keperluan hinggakan kanak-kanak seawal usia 8-9 tahun sudahpun memiliki gajet itu. Entah apa keperluannya tidaklah saya ketahui. Lebih hebat lagi, mereka memiliki gajet yang saya sendiri pun tidak mampu untuk membelinya. Aduhai kanak-kanak moden, kalian sememangnya didatangi ujian yang begitu hebat ketika usia masih muda.

Saya secara peribadinya kurang bersetuju dengan cara ibu bapa yang begitu bermurah hati memberikan handphone untuk anak-anak mereka yang masih kecil. Tahap kanak-kanak itu masih tidak mampu menggunakan sepenuh akal mereka bagi membezakan mana yang baik dan mana yang buruk. Akibat yang lebih buruk mulai kita rasai dengan berita-berita anak remaja kita yang baru sahaja berusia 12-13 tahun sudah lari mengikut pasangan masing-masing dengan alasan cinta. Cinta itu tentu sahaja dipupuk menerusi alat telekomunikasi ini. SMS, MMS, panggilan suara, panggilan video dan berbagai cara lagi yang membawa kepada komplikasi cinta di usia mentah ini.

Satu lagi teknologi yang menjadi kewajipan untuk dimiliki di setiap rumah iaitu televisyen. Sewaktu dahulu, ada juga ustaz yang mengistilahkan benda ini sebagai berhala bersuara. Saya tidaklah ingin sama menggunakan istilah itu di sini kerana mungkin perkara ini menjadi suatu yang sensitif kepada mereka yang menagih dadah hedonisme secara tidak sedar ini. Situasi yang dapat kita lihat bilamana TV menjadi pengasuh kepada anak-anak kita di rumah. Perkara ini semakin menular selepas ada syarikat penyiaran berbayar mewar-warkan siri pendidikan untuk kanak-kanak.


Sebahagian aktiviti kanak sekarang adalah di hadapan TV.

Cara mendidik kanak-kanak yang terbaik terutamanya di bawah usia dua tahun adalah dengan sentuhan ibu bapa atau penjaganya bukan melalui imej di TV. Ini sepertimana kajian yang dibuat oleh Akademi Pediatrik Amerika yang mengharamkan TV untuk bayi berusia dua tahun ke bawah. Manakala menurut Pakar Perkembangan Hemisfera Otak Universiti Chicago, Dr Jerre Levy pula menekankan bahawa kemahiran menguasai bahasa dapat dipupuk dengan pembacaan dan komunikasi dua hala iaitu dengan ibu bapa dan keluarga dan bukannya dengan TV.

Dalam buku Critical Viewing of Television oleh Ibrahim M Hefzallah menerangkan bahawa rancangan TV yang kerap menunjukkan unsur seks yang kerapkali dijadikan sebagai simbolik kepada penghujung percintaan akan meracuni fikiran kanak-kanak bahawa cinta yang sejati itu hanya berakhir di atas katil. Jika masyarakat terdidik dengan pemikiran ini, tidak hairanlah perkahwinan hanya dilihat dari sudut seks semata-mata. Indeks perceraian juga meningkat akibat pasangan tidak lagi serasi kerana hubungan yang dibina atas dasar seks semata-mata tidak membawa keindahan yang berpanjangan.


Samseng, percintaan, dadah menjadi suatu impian untuk kelihatan lebih hero dari biasa.

Di Malaysia kini memandang bahawa industri filem kita akan maju jika kita lebih berani dan terbuka sebagaimana industri filem gergasi dunia. Lihatlah filem kita sekarang berbanding dulu. Adakah benar ianya membawa motif yang baik atau sekadar membiakkan lagi budaya yang dipamerkan seperti dalam filem itu. Lumba haram, seks bebas, dadah dan lain-lain masalah dilihat sebagai satu tindakan yang 'hero' oleh remaja-remaja. Saya akan mencebik jika ada pengarah mengatakan filem lawak bodoh percintaan garapan mereka membawa moral dan motif yang besar untuk diketengahkan kepada masyarakat. Anda boleh menilainya sendiri.

Hedonisme merebak dengan cepat sekali dengan cara ini. Bahkan ada keluarga yang dikategorikan miskin rela berhabis duit memasang ASTRO di rumah mereka walaupun kadang-kadang mereka terpaksa berlapar untuk menampung bil ASTRO yang sampai tiap-tiap bulan. Hedonisme merelakan mereka berlapar dari kehilangan rancangan TV yang mereka gemari. Adakah anda juga di kalangan mereka? Fikirkanlah dengan setulusnya.

Saya tidak mengharamkan TV, kerana di rumah saya juga punya TV walaupun tanpa ASTRO . Kerana perkembangan semasa boleh kita dapati melaluinya. Namun wajib bagi kita untuk menghadkan penggunaannya untuk mengelakkan keburukan yang sangat hebat melanda institusi kemanusiaan kelak.


Tontonlah dengan fikiran, jangan sekadar menontonnya dengan mata!

Saya teringat kisah Wall-E, iaitu robot yang mempunyai perasaan kemanusiaan ketika semua manusia tidak mengendahkan perasaan tersebut. Robot yang tidak mengikut sistem tatkala manusia-manusia lain seolah-olah diprogramkan. Selepas menonton filem ini, saya merasakan bahawa kadang-kadang kita perlu untuk bersusah-susah untuk menghargai alam sekitar tanpa menggunakan alatan elektronik agar nilai alam ini tidak luput dari naluri kemanusiaan kita dek kerana kaburnya mata oleh kecanggihan teknologi.

Langkaui masa hadapan untuk berfikir walaupun kaki kita masih di sini. Seeru Ala BarakaatiLLah.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih mengomen! Jangan segan-segan untuk meninggalkan perkataan di sini.