Followers

11.21.2008

Yoga dan Solat, Suatu Perbandingan.

Baru-baru ini heboh juga tentang isu yoga, walaupun sekarang ini ianya tidak lagi menjadi isu utama yang dibincangkan di dalam akhbar semasa dek kerana Majlis Fatwa Kebangsaan masih lagi membincangkan isu ini secara mendalam dan masih tiada lagi fatwa yang dikeluarkan walaupun telah melangkaui tarikh yang yang sepatutnya fatwa itu dikeluarkan.


Dr. Syeikh Ali Jum'ah, mufti Mesir.

Lama dahulu, mufti besar Mesir, Dr. Syeikh Ali Jum'ah telahpun mengeluarkan fatwa mengharamkan yoga sebagai amalan untuk kesihatan kerana ianya menjadi satu amalan penganut agama Hindu yang kononnya bersatu dengan Tuhan sewaktu mereka melakukan yoga. Saya kira, Majlis Fatwa Kebangsaan sekarang ini tentunya memikirkan keputusan terbaik kerana pengamal Yoga di Malaysia boleh dikatakan agak ramai juga. Ianya pasti akan memberikan impak yang memeranjatkan kepada pengamalnya yang rata-rata mereka adalah kaum perempuan.

Sejarah Yoga


Yoga yang sinonim dengan masyarakat kita sebagai satu senaman dan cara menghilangkan stress

Yoga jika merujuk kepada Kamus Dewan (edisi keempat) ialah satu sistem falsafah Hindu yang bertujuan menyatukan diri dengan Tuhan dengan mengheningkan fikiran (bertafakur) melalui gerakan fizikal dan fikiran. Ensiklopedia yang lain mengatakan bahawa Yoga adalah satu bentuk disiplin tradisional India untuk fizikal dan mental. Ianya juga dikatakan sebagai salah satu fahaman Ortodoks dalam falsafah Hindu.

Perkataan Yoga berasal dari kalimah bahasa sanskrit Yuj yang membawa banyak maksud seperti mengawal, menggalas dan menyatukan. Masyarakat Hindu percaya bahawa yoga adalah sebagai satu ritual keagamaan untuk menyembuhkan jiwa kerana bersatunya mereka dengan Tuhan.

Yoga mempunyai beberapa cabang seperti Raja Yoga, Jnana Yoga, Bakti Yoga, Karma Yoga dan Hatha Yoga. Namun pada masyarakat luar India, mereka lebih dekat dengan cabang Hatha Yoga kerana yoga jenis ini adalah yoga yang membabitkan posisi tubuh (asana) atau lebih senang dengan panggilan senaman.

Ianya telah mula diperkenalkan kira-kira 3300 tahun sebelum Masihi dan dikatakan cukup efektif untuk membantu melambatkan proses melambatkan penuaan, mengurangkan risiko diabetes, darah tinggi, lelah dan penyakit berkaitan jantung. Dalam kitab agama Hindu yang paling lama telahpun menyebut tentang yoga. Menurut penulis buku yoga terkenal, Goerg Feuerstein, yoga menjadi asas kepada upacara Vedic (zaman penyebaran Veda) khususnya untuk ratib zikir suci.

Hatha Yoga mengfokuskan tentang shatkarma (yoga yang membabitkan penyucian tubuh badan) sebagai peneraju kepada penyucian minda (ha), pernafasan (prana) dan tenaga yang penting (tha). Yoga kini diamalkan dikebanyakan negara-negara yang rata-rata pengamalnya berpendapat bahawa yoga adalah satu cara yang cukup berkesan untuk mengurangkan tekanan (stress). Malaysia juga tidak terkecuali bahkan pusat-pusat senaman yoga begitu cepat membangun terutamanya di negeri-negeri maju.

Haram atau tidak pada anda? Sama-samalah kita merenung hadith Rasulullah S.A.W yang bermaksud :

"Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka ia adalah dari kalangan mereka"

Solat Dan Pensyariatannya

Selaku orang Islam, sejarah pensyariatan solat tentunya menjadi lebih dekat dengan kita lebih-lebih lagi ianya dijadikan sebagai satu tarikh kebesaran bagi umat islam diseluruh dunia. Tipu kiranya anda tidak pernah mendengar tentang Isra' Mi'raj. Perjalanan baginda Rasul s.a.w dari Makkah ke Baitul Maqdis dan dari Baitul Maqdis terus naik ke langit dengan pelbagai kisah-kisah yang menarik yang berlaku sepanjang perjalanan itu.

Kita juga tahu bahawa kronologi sebelum Allah memperjalankan RasulNya itu adalah kerana untuk mengubati kesedihan baginda yang baru sahaja kehilangan dua orang insan kesayangan yang selalu membela perjalanan da'wah baginda, isteri tercinta, Khadijah r.a dan bapa saudaranya Abu Talib. Bahkan tahun itu dikenali sebagai 'Aamul Huzn (tahun kesedihan).

Apa tujuan Allah menggerakkan kekasihNya untuk bertemuNya lantas dianugerahi solat sebagai satu perkara yang wajib untuk dilakukan. Perkara ini setelah diteliti dan diamati, pensyariatan solat adalah sebagai penawar kepada kesedihan, penyembuh kegundahan dan pengubat kedukaan. Satu cara yang efektif untuk menangani kesedihan telahpun dikurniakan Allah untuk Rasulnya yang masih lagi merasai kehilangan pada waktu itu.


Hanya Engkau(Allah) yang kami sembah dan kepada Engkaulah kami memohon pertolongan.

Pasti hebat penawar yang dikurniakan Allah ini kerana Dialah tuhan yang menjadikan makhluk tanpa sedikitpun jahil tentang struktur tubuh manusia. Dialah Allah yang Maha Tahu apa yang terbaik untuk manusia. Seumpama pencipta kereta yang tahu bahawa kereta yang diciptakan itu tidakkan bergerak dengan air. Begitulah Allah mengetahui dan mengenali kita bahkan lebih dari itu lagi.

Solat Senaman Muslim

Selain disyariatkan sebagai lambang penyembahan kepada Allah yang Maha Esa dan juga tanda berserah diri kepadaNya, ia juga turut mengandungi pelbagai kelebihan samada dari sudut kerohanian mahupun fizikal. Telah berlaku banyak ujian yang dijalankan ke atas solat dan hasilnya juga sememangnya menakjubkan kerana menunjukkan kesan yang baik kepada kesihatan manusia. Bahkan jauh lebih baik dari yoga anjuran Hindu itu.

Solat mengajar kita supaya berdisiplin, ini dapat dibuktikan dari sudut ketetapan waktu yang memastikan bahawa kita sentiasa melakukan solat-solat ini di dalam waktunya yang tertentu. Jika kita melanggar waktu yang telah ditetapkan itu, solat kita tidak akan dikira kecuali atas sebab-sebab yang dibolehkan berbuat demikian. Begitu juga disiplin mengadap tuhan, kita perlu bersuci dari hadas, menutup aurat, tidak boleh bergerak sesuka hati, tidak boleh makan dan bermacam lagi etika-etika yang harus dilakukan untuk berjumpa Raja segala Raja itu.

Solat juga mengajar kita agar mengikuti ketua (imam) selagi ianya betul dan menegurnya secara terus jika ada kesalahan dalam sembahyang. Kita juga tidak boleh bertindak mendahului imam dalam gerakan-gerakan sembahyang. Begitulah Islam yang begitu sempurna kerana dengan sembahyang sahaja, telah banyak rahsia yang terungkap.

Dari sudut pergerakannya pula, bermula dengan berdiri, mengangkat takbir, ruku', sujud, tahiyyat dan salam semuanya ada membawa khasiat kepada kita hasil dari pergerakan itu tadi. Sujud contohnya, telah sekian lama kajian yang dibuat menunjukkan bahawa sujud membantu proses mengalirkan darah ke satu tempat yang tidak pernah sampai ke tempat itu kecuali dengan sujud.


Al-Quran itu sebagai penawar.

Bacaan al-Quran di dalamnya juga menurut seorang doktor perubatan mampu melegakan stress. Ini kerana kajian beliau tentang orang yang mendengar al-Quran sewaktu stress melihatkan proses penurunan kadar keregangan yang amat menakjubkan. Bahkan di Malaysia, terdapat satu pusat ternakan lembu yang menggunakan kaset bacaan al-Quran untuk diperdengarkan kepada lembu dan hasilnya, lembu itu lebih jinak dan menghasilkan lebih banyak susu.

Ada rungutan bahawa sembahyang atau tidak, hasilnya sama sahaja. Tidak menunjukkan apa-apa perbezaan pun. Perlu diingatkan di sini, sembahyang bukanlah sembarangan perkara. Ianya menjadi satu-satunya perkara yang diberi secara langsung kepada RasulNya. Untuk mendapat kesan solat itu, ianya perlu bermula dari sebelum mendirikannya lagi. Wudhu' yang sempurna, rukun yang tiada cela, hati tenang dari dunia dan pastinya khusyu' datang untuk menerpa.

Solat beginilah yang membawa kesan. Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya Fiqh al-Aulawiyyaat menyebut, mereka meletakkan khusyu' dalam sembahyang ditempat pertama manakala kesempurnaan rukun pula mereka abaikan. Bagaimana khusyu' bisa hadir ke dalam hati pelaku-pelaku sebegini? Aulakan yang utama.

Yoga atau Solat?



Akhirnya, kita selaku umat Islam semestinya perlu berbangga dengan pensyariatan solat kepada kita. Ianya dikurniakan Allah kepada kita sebagai satu tanda Dia mahu kita mengadapnya 5 kali sehari dan mengadukan esak tangis kita dalam doa kepadaNya. Tidakkah itu hebat pabila Tuhan sendiri mahu mendengar masalah kita, menyayangi kita tatkala kita sayang kepadanya dan mendekati kita saat kita menghampirinya.

Sudah tentu ianya jauh lebih hebat dari yoga yang baru sahaja lahir sekitar 3300 s.m dahulu. Sedarilah wahai manusia, solat kita jauh lebih baik dari yoga mereka. Adat barang yang baik, sudah tentu penggunaannye juga memerlukan ketelitian yang tinggi. Sama-samalah kita menilai apa yang baik dan apa yang buruk di dalam tulisan ini. Seeru ala BarakaatiLlah.


No comments:

Post a Comment

Terima kasih mengomen! Jangan segan-segan untuk meninggalkan perkataan di sini.