Followers

10.30.2008

Persefahaman Hebat Mereka !



Sekarang, semangat ke'bola'an saya terasa tidak seghairah dulu. Jika dulu, semangat itu umpama slogan iklan air minuman, "makan bola, minum bola, tidur bola". Pendek kata, bola benar-benar mengambil ruang yang besar dalam kapasiti otak saya yang digerakkan dengan aliran kepanasan darah mentah lagi muda.

Jika jasad saya di kelas, fikiran saya menerawang jauh melangkaui waktu Asar dan bersedia untuk muncul dengan gaya mengawal bola yang baru. Jika tidak boleh bermain bola pasti tidak akan senang duduk jadinya. Sehinggakan semangat itu terbawa-bawa hingga setelah saya 'melancong' sambil belajar ke Syria pada akhir tahun 2005 dulu.

Pada tahun ini, minat saya kepada bola tidak lagi sehebat dulu. Mungkin sibuk, mungkin letih, mungkin buntu dan mungkin saya punya matlamat yang lebih besar dari menjaringkan gol di padang. Namun, saya ingin berkongsi dengan anda semua tentang sikap dan kefahaman pendatang baru KUDQI, adik-adik tahun 1.

Saya menyukai gaya permainan mereka yang sentiasa ceria dan dipenuhi dengan sikap yang mendorong sahabat-sahabat sepermainan yang lain untuk mencuba yang terbaik. Menghargai. Ya, Mereka begitu pandai menghargai kawan-kawan lain.

Bermain dengan mereka tidak akan merasa begitu terpinggir. Iwan, Serul, Zemi, Man, Aris, Asan dan lain-lain pandai memainkan peranan masing-masing. Mungkin antara mereka sudah bermain bersama bertahun-tahun. Namun ada 2-3 orang lagi masih baru bermain bersama-sama mereka.

Mereka ini mengingatkan saya kepada kawan-kawan saya dari Singapura sewaktu di Syria dulu. Mereka cukup menghormati lawan mereka. Mereka bukanlah yang genius bola sepak, mungkin ada segelintir dari kalangan mereka. Namun saya perasan setiap kali saya bermain dengan team mereka, pasti saya akan ada penigkatan dari sudut kualiti permainan.

Bayangkanlah, dari seorang yang tendang bola pun tidak mengena kepada yang mampu mengawal bola dengan baik dalam jangkamasa kurang lebih sebulan. Saya mengagumi semangat mereka dan memandang tinggi usaha mereka dalam mendorong kwan-kawan mereka yang kurang berkebolehan untuk terus maju ke hadapan.

Kini saya dapat lihat semangat begitu di KUDQI. Sekurang-kurangnya kini, permainan bola sepak di sini tidak hanya mengejar jaringan semata-mata, bahka ianya lebih berseni dengan usaha untuk meningkatkan kualiti permainan kawan-kawan lain. Saya mengimpikan jika bola berjaya dengan cara ini, maka dengan cara yang seakan-akan itu kualiti pelajaran ditingkatkan.

Teringat pepatah mengatakan, " jika berkawan dengan penjual minyak wangi, maka kita akan turut merasai kewangiannya". Seeru ala barakatillah.

Motivasi Yang Mengenyangkan!



Saya menerima buku motivasi dari seseorang pada baru-baru ini. Sebuah buku dari pakar motivasi yang begitu rancak menulis buku-buku berbentuk motivasi. Dr. H.M Tuah yang berjudul Kalau Ya, Katakan Ya!

Buku ini masih mengekalkan gaya santai dan bersahaja tanpa mengurangi prinsip-prinsip motivasi di dalamnya. Secara jujurnya, saya amat sekali jarang membaca buku-buku berbentuk motivasi. Bukan kerana motivasi saya sudah begitu tinggi, namun mungkin kerana tidak begitu mengenali motivasi lantas mengurangkan minat saya untuk membaca buku jenis ini.



Buku motivasi pertama yang saya baca adalah ketika Rabie Thanawi dulu, juga hasil tangan Dr. H.M Tuah dan saya kira itulah buku motivasi pertama dengan penyampaian ala santai begitu. Nak Ke Tak Nak judulnya. Buku ini saya pinjam dari Solehin. Mungkin kerana tertarik melihat tajuk yang lain dari yang lain.



Awal semester lalu, saya ada juga membaca buku 7 Habits of Highly Effective People karya Stephen R. Covey namun hanyalah versi terjemahan sahaja. Saya masih tidak mampu untuk menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Jika membaca buku inggeris, pasti akan ada satu kamus dengan saya. Seperti buku John Gray iaitu Men Are From Mars, Women Are From Venus kerana saya tidak menjumpai buku tersebut versi bahasa Malaysia lagi.

Walaubagaimanapun, saya ingin berterima kasih kepada kawan saya yang bermurah hati menghadiahkan buku motivasi Kalau Ya, Katakan Ya! yang amat berguna kepada saya. Benar-benar membuka mata saya tentang beberapa perkara. Mungkin beliau melihat saya pada akhir-akhir ini dalam keadaan yang kurang bermotivasi! :)

Syukran atas buku ini. Hanya Allah membalas kedermawanan anda. Moga ianya memberi manfaat kepada kita semua. Apa yang pasti, buku begini, benar-benar mengenyangkan emosi!

10.26.2008

Bertukar Kulit !


Ni la rupa kontraktor-kontraktor yang mengambil kontrak memasang khemah. Yang baju biru happy tak ingat tu, ketua kontraktor. :)

Dua hari tanpa malam saya berkampung di Pantai Pandak, Chendering mengikuti Himpunan Pemuda Islam Terengganu yang dijadikan sebagai acara tahunan Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu. Kenapa tanpa malam? Kerana saya tidak bermalam di situ akibat khemah yang didirikan sudah boleh dibuat kolam untuk membela talapia atau patin kerana hujan lebat yang tidak henti-henti selama hampir satu jam. :)


Explorace versi HIMPIT. Cari telur ayam kat tepi pantai? Jumpa ke?

Saya disenaraikan dalam kontinjen Hulu Terengganu dan didaftarkan atas nama KUDQI. Oleh kerana peserta dari KUDQI saja telahpun mencecah 35 orang, maka tidak banyak aktiviti yang saya sertai. Maka saya lebih banyak berjalan ke sana ke mari melihat aktiviti yang berjalan.


Dari Pandangan Luar..

Kadang-kadang saya lebih suka berada dalam khemah selepas mengalihkan sedikit pintu khemah itu mengadap angin. Bersama saya adalah buku karya Ann Wan Seng-Rahsia Kegemilangan Islam Di China dan buku teater Faisal Tehrani yang berjudul Karbala'. Kedua-dua buku ini sengaja saya bawa kerana saya tahu, saya akan lebih beraktiviti dengannya berbanding aktiviti lain yang kebanyakannya sudah penuh penyertaannya.

Dengan cuaca yang panas tetapi diterapi dengan alunan angin lembut pada tengahari itu menjadikan saya lena sebelum sempat saya habiskan masa bacaan saya selama setengah jam. Saya tertidur hingga ke Asar. Bangun solat Asar seterusnya menyertai aktiviti yang terbuka kepada semua peserta dan pengunjung, tanpa perlu menghantar penyertaan iaitu aktiviti bebas. Saya habiskan masa tersebut dengan 2 orang lagi kawan, Ikram dan juga Masrur atau lebih mesra dengan panggilan Tok Wan di tepi laut dengan seplastik keropok.


Layan feeling dengan Tok Wan. Ikram sedang merakamkan peristiwa feeling itu. Hehe..

Duduk di sini sememangnya menjadikan saya seolah-olah menonton kehidupan saya sendiri 9 tahun dulu. Di tepi pantailah saya menghabiskan masa petang saya bersama kawan-kawan di Darul Quran. Selama tujuh tahun saya di Rusila, saya tidak pernah jemu untuk ke pantai. Ada sahaja kerja nak dibuat. Dari bermain bola, tangkap ketam hingga ke Chendering beramai-ramai, berjalan sampai ke rumah Datuk Yahya di Kijing, pergi makan di kedai Pak Din pun melalui jalan pantai, sebelum azan Subuh pun pernah pergi ke pantai untuk merasai kesejukan angin waktu itu, tengok Ayah Chik Presiden mengail dan kadang-kadang melihat beliau berenang sambil tertanya-tanya tujuan beliau memasukkan pasir ke dalam mulutnya dan menggosok-gosok giginya menggunakan jarinya tatkala pasir itu masih di mulutnya dan pelbagai lagi cerita yang saya ungkapkan tanpa sedar dan kawan saya yang dua orang itu masing-masing melihat ke arah saya. Hebatnya kenangan, buat saya bicara tanpa sedar. :)


Pantai luas, bersih, berangin dan macam-macam lagi la yang cantik-cantik.

Kira-kira 10 minit mendengar wayang suara, kami pulang ke khemah. Masih memerhati aktiviti sekeliling, antara yang terkandung dalam program HIMPIT dan yang bebas. Cukup meriah suasana Pantai Pandak petang itu. Pantai yang cantik bertanjung yang menjadikan kedudukannya nampak melengkung yang diakhiri dengan batu-batu. Satu koreografi alam yang tiada bandingan.

Di hadapan khemah kami, berlangsung acara rakit darat. Sempat juga menjadi penyokong kepada pasukan Hulu Terengganu yang antara pesertanya terdiri dari pelajar KUDQI. Menang kalah diletakkan di tempat kedua, tautan ukhuwwah lebih menjadi keutamaan. Inilah sukan gaya Islam. Menyihatkan jasmani, merehatkan nurani.


Penyokong dan pemain rakit darat. Seriusnya muke masing-masing. :)

Untuk mandi, kami terpaksa ke Rusila akibat kepadatan pengguna di tempat mandi yang disediakan. Kami solat Maghrib di Rusila. Hujan lebat mulai kedengaran tatkala Imam mengangkat takbir. Saya lupakan dulu soal khemah, saya terus solat. Selepas solat, ada satu SMS masuk ke handphone saya. Mesej dari Wan Zul :

Hjan boh..abh khmoh awok kte bsoh.. ttp gne2 pn mmg msuk gk air dlm khmoh kte..

"Hisy, buku-buku tu macamane la yer.." Kata saya pada Ukasyah yang tak habis-habis mengusik Zailani. "Pesan je ke awok-awok ni suh yer ambik" katanya bersahaja. Baru saja saya menaip mesej, sampai lagi satu sms yang berbunyi :

tak boleh buat apa-apa dah. Aku tinggal gitu je pasal hujan lebat sangat..


Rupa buku-buku saya setelah direndam secukup rasa dalam khemah yang boleh menampung air. Sedihnya pasal dua-dua belum sempat habis baca lagi.

Sampai di tapak perkhemahan, saya terus masuk ke khemah dan memunggah barang-barang yang dah tenggelam dalam air. Dua buah buku saya itu dah jadi macam biskut cecah air milo. Sedihnya rasa. Hmm.. Moga Allah berikan hikmahNya yang terbaik buat saya.

Malam itu saya balik ke KUDQI bersama dua buku yang lenjun dan satu beg yang bertambah 3KG beratnya. Lupakan dulu buku itu dan saya terus tidur dan bersedia untuk pergi lagi pada esok hari.

Van KUDQI yang banyak berjasa bersama driver tetap tak bergaji tapi berpahala, Umar.

Aktiviti keesokkannya adalah bola sepak pantai, memancing dan larian pemuda. Apa yang pasti, saya tidak menyertai mana-mana pertandingan itu. Sekadar memberi sokongan. Majlis dirasmikan penutupnya oleh Dato' Pesuruhjaya, Hj. Mustaffa b. Ali pada jam 12 tengahari. KUDQI diberi tugas untuk mencabut semua bendera-bendera yang dipasang.

Saya pulang ke KUDQI kira-kira jam 4 petang setelah berjemur di tepi jalan dengan kawan, Ukasyah untuk mencabut bendera. Sewaktu pulang, cermin sisi kereta Ukasyah memaparkan saya dah bertukar kulit. Begitu juga dengannya. Masing-masing dah macam udang kena bakar. Hehe. Moga Allah mengurniai kita dengan ganjaran yang memudahkan kita berjalan menujuNYA. Seeru Ala Barakatillah.

10.19.2008

Niat Itu Teras!

إنما الأعمال بالنيات, وإنما لكل امرئ ما نوى, فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله, فهجرته إلى الله و رسوله. ومن كانت هجرته لدنيا يصيبها أو امرأة ينكحها, فهجرته إلى ما هاجر إليه.الحديث

Hadith yang cukup masyhur dan saya pasti ramai yang mampu mengingati hadith yang menjadi hadith utama atau pertama bagi kebanyakan kitab-kitab hadith. Hadith yang menjadi pembuka kepada kitab al-Arbaien an-Nawawiyyah ini merupakan satu hadith yang amat penting, sesuai dengan kedudukannya dalam kitab ini.

Rasanya tidak perlu saya menterjemahkan hadith ini kerana saya kira semuanya telah mafhum tentang hadith yang menekankan tentang kepentingan niat dan kemampuannya untuk mempengaruhi sikap dan tabiat kita.

Namun di sana terdapat juga orang yang apabila dibacakan hadith ini, hanya mendengar dengan acuh tak acuh kerana mungkin telah alim benar dengan hadith ini. Masakan tidak, mengaji di Darul Quran dulu hadith ini juga, mendengar kuliah di kampung, hadith ini juga. Pendek kata, terlampau banyak input yang dimasukkan ke dalam kepala kita sehingga ada yang hilang nilai kemampuan untuk mengaplikasikan konsep niat itu dalam kehidupan.

Belajar Niat dan Niat Belajar


"Niat tu senang je, benda yang terlintas dalam hati tu la niat. Tak perlu lafaz-lafaz ni. Lafaz-lafaz ni sekadar nak bagi feel kepada kita nak suruh khusyuk tu datang." Kata seorang ustaz."dan niatlah yang membezakan ibdat dan bukan ibadat" tambahnya lagi. Betul katanya kerana niat letaknya pada hati, dan lafaz niat itu di sisi ulama' feqah seperti Syafie dan lain-lain mazhab yang sependapat dengannya adalah sunat dengan tujuan untuk menghadirkan khusyuk.

Namun, dalam keasyikan kita belajar niat, ada juga yang lupa niat belajar. Ada juga yang sekadar mengisi kekosongan waktu, ada juga yang dipaksa mengikut ayah ke tempat pengajian dan ada juga yang datang dengan pelbagai keadaan lagi.

Niat ini adalah untuk menjelaskan lagi matlamat kita sebenarnya. Niat sememangnya mempengaruhi tindakan dan perilaku seseorang. Bagaimana yang disebutkan oleh Nabi S.A.W dalam hadith di atas. Bagaimana pengaruh niat membawa seorang lelaki turut sama berhijrah dengan niatnya untuk merebut cinta seorang wanita. Akhirnya dia terlepas untuk mendapat ganjaran yang lebih besar iaitu pahala hijrah.

Apa Niat Ke Kuliah?


Untuk teman-teman sepengajian saya yang begitu tekun menuntut ilmu Allah, pastikan niatmu tidak tersasar dari landasan asal untuk mendapat keredhaan Allah kerana pengaruh niat ini mat kuat dalam memastikan ke mana hala tuju dan arah kamu pada masa yang akan datang.

Pesanan saya ini adalah berdasarkan sedikit pengalaman pada waktu lalu yang turut terkesan dengan setiap perubahan yang saya alami setiap kali niat saya untuk belajar berubah. Saya pernah ke Syria dan pernah beberapa kali semasa berada di sana niat saya terpesong ke arah lain.


Apa yang pasti, saya menyarankan kepada anda semua agar masing-masing menyertakan niat itu dengan satu target. Perkara ini disebut jelas dalam hadith di atas, Rasulullah menggariskan bahawa :

NIAT = Hijrah
MATLAMAT =
  1. Redha Allah dan RasulNya
  2. Dunia yang dikejar
  3. Perempuan yang ingin dinikahi.
Perkara yang kita perlu jelas dalam medan menuntut ilmu ini adalah betulnya niat dan jelasnya matlamat. Perkara ini seringkali saya sebut secara berulangkali dalam sesi tazkirah saya. Kejelasan matlamat membawa kita kepada pengurusan yang cemerlang. Tanya diri kita, apa yang kita mahu. Setelah jelas dengan pertanyaan itu, sasarkan pula beberapa cara dan berapa lama masa yang kita perlu ambil dalam mencapai matlamat kita itu.

Manusia adalah ciptaan yang unik kerana apa yang terlintas di dalam fikiran dan apa yang masih mampu difikirkan, pasti mampu dicapai dengan kesungguhan dan inayah dari tuhan. Saya katakan tidak salah untuk bermimpi terbang di awan kerana semamangnya kita mampu buktikan dengan kesungguhan.

Siapa sangka adik beradik Wright mampu menerbangkan besi ke angkasa? siapa sangka Alex Graham Bell mampu menghubungkan orang yang berada berjauhan? siapa sangka teori graviti dapat dirungkaikan? Siapa sangka anda boleh berjaya? semuanya tidak berada dalam sangkaan orang melainkan dalam sangkaan kita sendiri dengan iringan matlamat yang jelas dan niat yang menjadi teras. Berubahlah menjadi lebih hebat dari diri anda sekarang. Perjelaskan matlamat dan berusahalah mencapainya.

Seeru ala BarakaatiLlah.

Terlepas Da'wah?


'Sekadar Hiasan'

Siapa tak kenal Sek. Men. Keb. Belara? Pasti ramai yang ingat kisah-kisah nakal mereka sepanjang bermastautin di bumi Kubang Lembek ini. Dengan kisah samurainya, pergaduhannya, baling batunya, rempitnya dan pelbagai lagi yang pasti menimbulkan perasaan geram bagi penduduk setempat.


Pergaduhan ala samurai yang mendapat liputan meluas

Saya pun turut menjadi salah seorang yang turut sama dalam bidang geram menggeram ini. Namun, saya kembali berfikir apakah kewajaran saya untuk menghukum mereka dengan kegeraman saya terhadap mereka ini.

Saya bersama sahabat saya, Zahid berjalan bersama menuju je musolla markaz, dekat benar dengan sekolah tersebut, bahkan pelajar-pelajarnya menjadikan kawasan itu sebagai tempat menyimpan atau parking basikal mereka.

Dalam perjalanan itu, saya berbual dengan Zahid, sekadar berbual kosong. Sedang kami berbual, kami terserempak dengan 3 orang pelajar wanita sekolah itu, menuju ke tempat letak basikal barangkali. Sempat juga saya menjeling mereka dan saya perasan yang mereka senyum ke arah kami. Saya buat-buat tak layan saja lah. Bukanlah nak menunjuk wara', tapi mungkin dah terbiasa begitu.

Kemudian saya terdengar salah seorang dari mereka berkata."Die tak layan orang macam kita ni, die layan orang yang baik-baik je". Saya terkedu mendengar penyataan itu, kemudian saya senyum sendiri.

"Mu tak dengar ke budak-budak tu kate nape?" tanya saya pada Zahid. "tak perasan pun", jawabnya ringkas. Selepas saya menceritakan balik, kami masing-masing ketawa. Saya sendiri kurang pasti kenapa kami ketawa, mungkin kerana kata-kata bersahaja adik-adik itu atau ketawakan diri sendiri yang telah sekian kali menekankan kepentingan da'wah dalam program-program yang diikuti tapi masih lagi gagal melaksanakan apa yang sepatutnya. Ketawa kerana berlagak tahu sebelum ini.

Saya berfikir dan meneliti perkara ini dan beberapa rumusan segera dibuat secara ringkas.

1- Silapnya berdakwah tanpa kemesraan dengan mad'u. Sikap ini menjauhkan mad'u.

2- Rentetan dari sikap kurang mesra itu, membangkitkan salah tanggap kepada orang yang berkopiah umumnya untuk didekati.

3- Menghilangkan peluang da'wah yang sekian lama terhidang di depan mata.

4- Sikap seperti itu, menjadikan mereka ini (yang nakal-nakal ini) terasa seperti tiada peluang untuk berubah dan meletakkan dalam diri mereka bahawa bersalah adalah bersalah selama-lamanya -merasa terasing-.

Kesimpulan dan tindakan yang perlu saya buat selepas ini adalah lebih bersikap terbuka tentang hal ini dan melebar-luaskan lagi gerak da'wah yang mulia ini. Tidak hanya tertumpu untuk mengajak 'Kudqian' ke musolla, akan tetapi turut sama mengajak adik-adik Belara sama.

Saya perlu putuskan bahawa, saya belajar di KUDQI ini bukanlah untuk saya semata-mata, akan tetapi ilmu ini adalah untuk dipersembahkan kepada masyarakat. Ilmu pula bukanlah berbentuk tulisan atau kalam semata-mata, bahkan ianya perlu diterjemahkan kepada bentuk perbuatan pula.

Saya tahu saya berisiko untuk diuji selepas saya berkata begini (manusia akan diuji dengan kata-katanya), akan tetapi saya juga tahu bahawa Allah takkan menguji hamba melainkan dalam kadar kemampuannya. Saya memohon kepada Allah yang maha gagah untuk menguatkan diri saya dalam mengharungi ujian tersebut.

Oh Allah, give us a strength to keep our word.
Allah ya Muqollibal Qulub. Thabbit Qalbi ala Deenika wa ala Thoo'atik.

10.11.2008

Keletihan Minda!

Salam Mujahadah,

Sejak Aidilfitri lalu, blog saya sunyi sekali dari sebarang posting-posting baru. Majlis Persaudaraan dan Silaturrahim menjadikan saya lebih kerap berada di dewan ceramah memerah idea untuk dilontarkan kepada peserta-peserta dari mencurahkan idea untk ditulis dan diletakkan dalam blog ini.

Program tersebut mengisi masa saya selama 4 hari ini. Walaupun program kali ini dilihat jauh lebih santai dari program yang sebelumnya atau mana-mana program yang pernah saya kendalikan sebelum ini, tapi serasa fikiran saya jauh lebih letih dari sebelumnya.

Mungkin terlalu lama berehat dari sebarang program yang melibatkan pengurusan. Walaubagaimanapun, program ini tetap akan diingati kerana dalam program ini saya selaku orang yang kurang bersosial mengatur rancangan untuk menjadikan peserta-peserta lebih bermasyarakat dan saya amat berharap agar akan ada keberkesanannya selepas ini.

Menjadi P.C program pada kali ini kadang-kadang membuatkan saya merasa kasihan dengan peserta-peserta, saya langsung hilang fokus untuk memberikan yang terbaik. Entah apa yang saya fikir. Saya masih perlu belajar untuk mengurus-asingkan mana yang peribadi dan mana yang dipertanggung jawabkan.

Kehadiran bantuan fasilitator dari luar juga sedikit sebanyak membantu dalam melicinkan lagi perjalanan MPS kali ini. Mereka yang sentiasa berterus terang dalam bermuhasabah lebih menyenangkan saya. Dan saya juga ingin memohon maaf kepada mereka yang terlibat dalam menjayakan program ini jika sepanjang berlangsungnya majlis ini. Seeru Ala BarakaatiLlah.

10.02.2008

Salam Aidil Fitri


Salam Aidilifitri dari Hj. Abdul Karim sekeluarga .

Ampunan maaf kupohon jika diri ini pernah tersilap bicara, terlanjur kata, terkasar senda dan juga ke atas sebarang kekuarangan dan kelemahan sepanjang fatrah perkenalan dan persahabatan. Salam Aidil Fitri. Kullu Aam Wa Antum Bil Khair.