Followers

11.16.2009

Bukan Kejadian Di Sini, Ini Di Tempat Lain.. Harap Maklum!

Saya mahu bercakap soal orang yang bercakap bohong. Saya benci apabila dibohongi, apatah lagi jika bohong itu merupakan bohong yang terkantoi dan cuba ditegakkan juga benang yang basah, lebih malang lagi ada juga terpedaya dengan cara pembohongannya.

Itu tidak mengapa kerana yang mempercayainya bukan saya, tapi yang lebih sadis adalah jika orang yang tidak bersalah juga turut dikaitkan, bahkan kantoi pembohongan yang kedua ini lebih besar dari kantoi pembohongan yang pertama dan lebih parah lagi, selepas kantoi pembohongan yang kedua ini, masih ada lagi orang-orang yang kurang daya untuk berfikir secara waras mempercayai kaki bohong yang kantoi. Aduh, apa nak jadi dunia sekarang ini pun aku tak tahu. Kata Nabi, "Orang beriman tak masuk lubang biawak (dibohongi) dua kali"

Bahaya Si Mulut Manis

Dunia ini, ramai yang bermulut manis tetapi berperangai masam, busuk dan teruk. Kita boleh lihat gelagat mereka di sekeliling kita, saya juga berpeluang ditemukan Allah dengan mereka yang bermulut manis ini, cakap semasa di depan kita, dialah yang terbaik dan sentiasa mahukan yang terbaik, tapi hakikatnya tidak begitu. Oleh sebab kita manusia, maka secara automatik akan ada juga terselit sifat2 begitu.

Orang yang mulut manis dan pijak semut tak mati ini, jika perutnya jahat dan busuk, maka tipudaya yang dibawanya juga lebih hebat celakanya dari orang yang bermulut jahat. Anda mahu bukti? Saya tidak dapat memberi anda bukti dengan bukti dari saya tapi pasti jika anda panjang umur, anda akan bertemu dengan spesis-spesis manusia dan salah satunya jenis bermulut manis.

Lidah Biawak

Pada asalnya, kasihan juga apabila biawak yang tidak bersalah dijadikan bidalan kepada orang yang suka putar belit, tapi setelah fikir-fikir kembali ianya sekadar simbolik, maka saya gunakan juga. Simboliknya terletak pada perkataan 'bercabang'. Bercabang maksudnya dua arah. Apabila berbual dengan yang ini, versi cerita jadi begitu, tapi bila berbual dengan yang itu, versinya jadi lain pula.

Jika soal remeh, mungkin tidak membawa kesan, tapi cuba bayangkan jika ianya melibatkan diri dan maruah seseorang. Sudah tentu tindakan itu boleh mendatangkan kesan yang teruk dan dahsyat. Maruah amat-amat dijaga oleh Islam, ianya sepenting nyawa dan agama. Buat apa bernyawa tetapi tidak bermaruah dan apa guna beragama jika tiada maruah. Contoh boleh reka sendiri.

Fitnah Yang Bangkit

Bila cerita mula jadi hebat, mustahillah jika ianya tidak meniti di bibir mulut orang ramai. Fitnah pun timbul, sana fitnah sini, sini fitnah sana. Masing-masing nak mempertahankan hujah masing. Ada yang kukuh dan ada yang dangkal. Makin hari, fitnah membaham makin ramai orang yang tidak bersalah.

Asalnya seorang, lalu dikait-kaitkan dengan orang sekian-sekian, si polan-si polan makin hari makin besar, hinggalah mulut yang berbohong dan menabur fitnah ini sudah bosan berbohong atau diberi hidayat atau mulutnya sudah tersimpul kerana kesan pembohongannya kian jelas.

Jangan jadi Umno

UMNO adalah parti yang ditubuhkan atas dasar kebangsaan dan penubuhannya itu selaras dengan kehendak penjajah yang mahu meninggalkan bumi Malaysia ini kepada pengganti yang dipercayai dapat mengekalkan dasar-dasar British.

Dasar perjuangan peringkat awalnya dulu begitu murni dan tulus. Makin dewasa UMNO, makin kuat penyakit-penyakit yang biasanya hinggap pada parti-parti yang tidak menjaga kesihatan. Rasuah, salah guna kuasa, pilih bulu, sayang kroni, projek mega dan sebagainya mula menjadi barah.

Setelah melihat sakit yang melanda UMNO itu teruk, ada juga pihak yang mahu membawa virus itu ke dalam institusi mereka. Ada juga yang mahu menipu, ada juga yang mahu kroni naik walaupun kadang-kadang kroni itu tidak tahupun usaha untuk menaikkan beliau dilakukan. Layak ke, tak layak ke kroni kita itu, tak kiralah, yang penting sikap jujur yang ada pada ilmu yang kita pelajari setiap hari hampir tidak digunakan.

Lebih malang lagi, jika sandiwara kotor kita ini menyebabkan kroni yang tidak bersalah dan tidak tahu menahupun turut tercalit tahi, maka itu adalah tindakan yang jahat dan kotor dalam sejarah pengkronian. Hey brader, matlamat tak menghalalkan cara, al-ghaayah la tubarrizul waseelah, omputeh ambo tak reti.

Akhir sekali, ingatlah pepatah dari orang-orang lama, sepandai-pandai tupai menipu, akhirnya tersungkur juga pada kebenaran.

P/s :
- Kejadian ini tidak berlaku di Malaysia, ianya berlaku jauh dihujung kampung di Uganda.
- Baca artikel ini dan cuba kaitkan ditempat anda, jika ada spesis-spesis ini, maka artikel ini dituju khas buat anda dan jika tiada, jadikan artikel ini sebagai amaran kepada spesis belit yang berkeliaran di mana saja.
- Terima kasih kepada yang mencetus idea ini.
- Kepada yang memimpin, jangan tak boleh ditegur langsung. Teguran tu membawa kepada kecemerlangan, bukannya nak tikam belakang. Lagipun, saya ni tak suka tikam, lambat mati, tembak je terus, takpun langgar je. hehe.
Kepada yang berbohong, rentikanlee.. Takde pekdah apepun.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih mengomen! Jangan segan-segan untuk meninggalkan perkataan di sini.