Followers

11.20.2009

Bersih+Sihat =Iman dan Bebas Taun

السلام عليكم ورحمة الله و بركاته

النظافة من الإيمان



Doa Mengelakkan Wabak

Hari ini, mungkin rata-rata masjid membaca khutbah berkenaan dengan wabak taun atau kolera yang melanda negeri Terengganu sekarang. Saya mengetahui tentang wabak ini pada Jumaat lepas, kebetulan pergi ke rumah ibu saudara saya di kampung sebelah. Cadangnya mahu meminta beliau untuk mengecop beberapa dokumen saya. Tapi beliau tiada di rumah ketika itu, kata adiknya, beliau bermesyuarat. Permaisuri Agung dijangkiti wabak taun, maka segala macam pegawai kesihatan, doktor dan mana-mana yang terlibat dipanggil mesyuarat. Termasuklah ibu saudara saya yang bekerja sebagai pegawai farmasi negeri.

Maka berbalik kepada isi penyampaian khutbah tadi, maka pesanan berkenaan penjagaan kebersihan dititikberatkan, tips-tips untuk mengelakkan dari dijangkiti taun juga disebut. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya, bagi yang pergi ke masjid untuk mendengar khutbah tadi beroleh manfaat dari apa yang disampaikan oleh tuan khatib itu.

Islam memang menggalakkan kebersihan, bahkan menjaga kebersihan dikira suatu ibadah. Sabda Nabi yang menjadi pembukaan kepada entri kali ini adalah menggambarkan betapa kebersihan adalah cabang dari iman. Barangsiapa yang tidak menjaga kebersihan, maka pasti imannya tidak mencukupi.

Tapi, kadang-kadang.. Selaku Muslim, kerap juga kita yang menjadikan Islam sebagai agama tidak menitikberatkan soal kebersihan, baik dari soal persekitaran, makanan, pakaian dan sebagainya. Jika bagi muslim yang bersembahyang, maka dari sudut tubuh badan, pakaian dan tempat solatnya pasti sudah bersih kerana syarat sah solat adalah suci dari hadas dan tidak membawa najis.

Masjid menjadi tempat solat bagi muslimin, boleh dipuji kerana rata-ratanya mengutamakan kebersihan, tapi cubalah pergi ke tandasnya. MasyaAllah, boleh tahan juga puntung-puntung rokok yang dihisap ketika berak bertaburan diatas lantai. Ada juga kotak-kotak rokok yang telah kosong ditinggalkan di dalam tandas. Mungkin mereka berdalilkan malaikat tidak pergi ke tandas maka bolehlah mereka membuang sampah tanpa rasa khuatir lagi. Patutlah kebersihan dikira sebahagian dari iman, rupanya mereka yang membuang sampah merata-rata di tandas adalah mereka yang tidak mengimani Allah itu Maha Tahu.

Saya tinggal di asrama dalam satu jangka masa yang lama juga, maka ragam dan karenah mereka yang berada di asrama dapat juga saya ingati. Ada yang suka jika biliknya bersepah-sepah tanpa dikemas, ada juga yang mengemas bila ditegur, ada yang mengemas bila ada pertandingan dan ada yang sentiasa kemas dan bersih. Tapi untuk memastikan keseluruhan asrama itu kemas dan bersih, ianya agak sukar.

Jika soal pakaian, saya berpeluang mengajar di Darul Taqwa, walaupun hanya menggantikan seorang ustazah dalam masa dua hari. Saya melihat, segelintir pelajar memakai baju yang tidak dibasuh selama 2-3 hari. Mereka kanak-kanak, memang pada mereka tak perlu sangat untuk menjaga keterampilan, asal kawan-kawan mereka tidak lari dari mereka itupun sudah cukup buat mereka. Lalu, orang yang sepatutnya berperanan di sini adalah keluarga mereka, imma ibu bapa, penjaga, tok, nenek, kakak dan abang. Tak manis jika yang dihantar ke sekolah dengan sistem pendidikan Islam, dilihat comot macam pekerja kontrak membaiki jalan. Mereka wajib menjaga imej Islam. Jangan sampai guru-guru di sana pula yang membasuh baju anak-anak kita.
Kasihanilah anak-anak kita.



Soal mengisi perut pula, Islam tidak pernah melarang penganutnya untuk mencari yang sedap segala ianya memenuhi dua kriteria, iaitu halalan dan tayyiba. Halal adalah untuk pembangunan rohani, ianya menentukan sihat sakit rohani kita. Maka dengan memakan makanan yang halal, maka segala benda yang melibatkan rohani juga akan lebih mudah dilakukan, hati juga lebih senang menerima kebaikan.

Toyyiba pula adalah untuk memastikan penampung ruh iaitu jasad kita sentiasa segar bertenaga. Apa yang pelik, bab makan, orang melayu khususnya memang mengutamakan yang sedap dari yang berkhasiat. Sanggup mengembara berpuluh-puluh Kilometer untuk merasa kesedapan sup tulang, gulai kawah, sup ekor dan macam-macam menu lagi. Ada seorang yang punya pertalian saudara dengan saya yang juga tinggal di kampung saya, sanggup ke Dungun semata-mata untuk merasa sup ekor yang diwar-warkan sedap oleh ramai kenalannya.

Yang berhijrah dari kedai ke kedai pun tidak kurang ramainya. Malam ni jadualnya ke kedai ini, esoknya ke kedai lain pula. Begitulah seterusnya hingga berjumpa menu di hospital yang serba diet itu. Saya bercakap ini bukan soal untuk memarahi anda yang suka makan di kedai-kedai, warung-warung dan restoran-restoran. Tapi, berpada-pada kerana diet Ramadhan yang datang setahun sekali itu dikhuatiri tidak dapat membersihkan perut anda yang sarat dengan segala menu itu.

Alhamdulillah, setakat ini keluarga saya memilih untuk memasak tidak kira menjadi atau tidak tetapi ayah saya tetap berkata ya dan tidak banyak soal. Bahkan, lauk dirumah walaupun tidak semewah lauk di restoran yang serba ada, tetapi lebih bermakna tanpa kehadiran MSG, kicap sotong dan perasa-perasa yang datang entah dari mana puncanya. Selain itu, ayah juga boleh dikira sebagai pendorong untuk emak saya terus memasak. Setiap hari akan adalah komen yang keluar dari mulut ayah saya agar masakan emak saya sentiasa maju dari hari ke hari. Tapi dengan syarat, sebagai tukang masak, jangan cepat putus asa.

Oleh itu, saya menyeru semua yang sudah berkeluarga, sekurang-kurangnya galakkan isteri anda memasak, jangan nak merasa air tangan tukang-tukang masak restoran semata. Kalau isteri tak pandai, belikan dia buku resepi yang berlambak-lambak di pasaran. Gantikan gelang tangan dan rantai emas kepada segala set masakan didapur dan bahan-bahan untuk memasak sebagai hadiah alternatif baru kepada si isteri tercinta. Dengan izin yang Maha Pencipta, hubungan anda akan bahagia selalu.

P/s: Saya tak kahwin lagi. Idea di atas ini adalah dari pemerhatian saya kepada kedua-dua orang tua saya. Hadiah ayah saya kepada emak tidak meletakkan emas sebagai aulawiyyat, tetapi kuali, microwave, kuali bahulu, senduk, alat-alat untuk kuih tradisional dan sebagainya. Mungkin tidaklah sesedap hotel, tapi air tangan ibu sentiasa menyebabkan anak-anak rasa lapar. Setakat ini dulu, saya rasa lapar. :) Wassalam.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih mengomen! Jangan segan-segan untuk meninggalkan perkataan di sini.