Followers

8.23.2008

Tamrin Siyasi 08'


Gambar kenangan Tamrin Siyasi '08

Setelah tiga hari memerah tenaga dan idea, akhirnya tamrin siyasi yang direncanakan khusus untuk tahun akhir KUDQI dapat disempurnakan penutupnya. Menulis dalam keadaan letih mungkin tidak memberi semacam kepuasan kepada diri kerana tidak dapat mengeluarkan untaian kata yang pelbagai. Mungkin akan selalu diulang-ulang perkataan yang sama, mungkin kurang nilai inteleknya dan mungkin timbul berbagai kemungkinan lagi.

MAHALNYA HARGA MERENDAH DIRI

Rendah diri dipandang tinggi, tinggi diri dipandang benci.

Mengendalikan program untuk mereka yang lebih senior dari kita bukanlah satu perkara yang boleh dilakukan umpama mengoyak kulit kacang dan memakannya, apatah lagi jika antara pengendali dan peserta mempunyai hubungan yang agak rapat dan dalam keadaan kita mengetahui sedalam mana ilmunya. Berdiri di hadapan mereka dan mengarah itu dan ini sedikit sebanyak menyedarkan diri saya agar dapat menyediakan diri dengan kesediaan yang lengkap untuk mengharungi dunia da'wah yang penuh liku.

Penda'wah yang sebenar tidak memilih sasaran da'wah mereka, matlamat mereka tidak hanya ingin mengislamkan individu, bahkan mengislamkan negara. Maka dengan mengetahui betapa besarnya keperluan bagi seorang pendakwah, betapa besarnya matlamat da'wah, saya patut berterima kasih kepada Allah kerana menjadikan saya sebahagian daripada tamrin ini.

Kerjasama yang diberikan oleh para peserta yang amat merendah diri dengan saya juga amat mahal harganya, hilang segala rasa kurang selesa dan gemuruh sewaktu memberikan pengisian sepanjang program tersebut. Tawadhu' kalian amat besar ertinya buat saya. Moga Allah memberikan bimbingan sepanjang perjalanan menuju redhaNya ini.

AMAL JAMA'IE, SEBUTAN DAN AMALAN


Amal jama'ie atau lebih mesra di bibir mulut bangsa Melayu sebagai bekerjasama adalah suatu amalan yang sihat yang sememangnya mesti disuburkan dalam gerakan da'wah. Namun amal jamaie ini mempunyai satu tuntutan sebelum ianya dapat dilaksanakan iaitu mengiltizamkan diri dengan jemaah Islam yang memenuhi syarat-syarat jamaah Islam sebenar.

"talzimu jama'atal muslimina wa imaamahum"

Menyebut dua patah perkataan Amal Jamai'e ini sememangnya mudah, namun untuk menjadikannya sebagai kenyataan dalam kehidupan, ternyata tidak semudah mengungkapnya. Amal jamaie memerlukan segenap keikhlasan, ketaatan dan istiqomah yang juga nampak mudah disebut tapi payah sekali untuk merealisasikannya. Semuanya ini memerlukan kesabaran dan rasa kebergantungan kepada Allah yang amat tinggi. Semoga kita tergolong dari kalangan hambanya yang istiqomah.

MENGGARAP WEHDATUL FIKR WAL AMAL


Mesyuarat adalah panduan dalam berjemaah, ketaatan kepada keputusan mesyuarat adalah satu wadah untuk mencapai wehdatul fikr dan wehdatul amal

Saya bukanlah seorang yang layak berbicara tentang hal-hal berkaitan tarbiyyah dengan begitu terperinci, sekadar memberi ma'na dari kacamata seorang yang mentah benar di dalam bidang ini. Semoga sebarang penafsiran yang dibuat tidakkan lari dari landasan asalnya.

Kesatuan fikrah dan gerakerja adalah satu elemen penting dalam berjamaah. Maksudnya disini bukanlah menutup segala ruang perbincangan dan hanya berjalan diatas satu cadangan sahaja, bahkan ianya lebih kepada membentuk fikrah yang dapat menerima keputusan syura dan menggerakkan segala yang dirancang itu seumpama cadangan itu terbit dari idea kita(komitmen). Segalanya memerlukan mesyuarat sebagai tunjang asas untuk membentuk satu konsep yang digelar wehdatul fikr dan wehdatul amal.

Wala' memainkan peranan yang penting dalam memastikan konsep wehdatul fikr dan wehdatul amal ini berjalan dengan baik. Bagaimana wala' dapat dipupuk andai jiwa kontang dengan program-program tarbiyyah? Adakah dengan tidak memahami konsep wala' kita merasakan bahawa wala' ini adalah seumpama angguk tanpa bantah setiap arahan yang dikeluarkan oleh ketua? Semuanya ini perlu difahami anda ingin terjun ke medan da'wah dan siasah ini agar diri kita tidak terjerumus kepada fikiran-fikiran yang kacau.

MEMBIAKKAN PEMIKIRAN DENGAN KAJIAN


Ilmu tidak akan datang kalau tidak dicari, ianya takkan hadir jika tidak memberi

Setelah seringkali kita diisi dengan pelbagai bentuk program berbentuk ilmiyah, kadang-kadang kita seringkali menerimanya tanpa sebarang kajian susulan. Sekadar menerimanya bulat-bulat, ianya tidak akan membantu dalam meningkatkan kadar intelektualiti kita.

Pada zaman kegemilangan Islam di era khilafah Abbasiyyah, masyarakat barat ketika itu memandang Baghdad sebagai simbol kemajuan sehinggakan masyarakat barat ketika itu turut tidak ketinggalan menggayakan busana-busana muslimah. Bukanlah tentang fesyen yang saya ingin fokuskan, namun betapa kemajuan yang dicapai ketika itu adalah dari kesungguhan cendikiawan-cendikiawan Islam yang begitu tekun meneliti dan mengkaji setiap benda baru yang mereka ketahui.

Andai ini dapat dipraktikkan oleh segenap masyarakat, nescaya tidak akan mustahil umat Islam berbangsa Melayu menjadi ikon kepada bangsa lain baik dari sudut kehebatan ilmu hingga kepada cara pemakaian sebagaimana kita mengagumi dan meniru gaya barat pada masakini.

Keberkesanan agenda da'wah itu terletak kepada dalaman diri da'ie itu sendiri dan bagaimana untuk memenangkan Islam diatas muka bumi pula terletak kepada sejauh mana tingginya nilai Islam dalam diri orang yang memeperjuangkannya. Kata Abul A'la Al-Maududi ;

"Islam tidak akan menang sehingga orang yang memperjuangkan Islam menegakkannya di dalam dirinya dahulu."

Maka atas dasar tazkirah, saya sekali lagi mengingatkan kepada diri sendiri dan sahabat-sahabat lain agar terlebih dahulu mematuhi etika-etika yang ditetapkan syara' dalam menghadirkan diri dalam saf perjuangan. Moga Allah menunjukkan kita jalan serta memancarkan kita dengan sinaran taufiq dan hidayahNya.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih mengomen! Jangan segan-segan untuk meninggalkan perkataan di sini.