Followers

2.18.2010

I Know That I Know Nothing..

Assalamualaikum w.b.t

Imam Syafie kata : " Semakin aku belajar, semakin terserlah kejahilanku "

Socrates pula kata : " I know that I know nothing "

Kata-kata hikmah yang lain pula : " Bilamana seseorang itu mula merasakan dirinya alim, maka disaat itulah dirinya menjadi jahil kerana orang alim itu sentiasa merasa bahawa dirinya tidak tahu dalam banyak perkara "

Kata-kata ini saya kutip dari lambakan tulisan yang pernah di baca, tetapi sumber asalnya, tidaklah saya ketahui di dalam kitab mana letaknya. Tapi jika dibandingkan ungkapan yang dikeluarkan oleh Imam Syafie dan tokoh falsafah Yunan, Socrates atau Saqraat dalam bahasa Arabnya, walaupun berlainan agama ianya punya satu persamaan iaitu merasai kejahilan bila mempelajari sesuatu. Semakin belajar, semakin sedar bahawa kita ini insan bodoh.

Bodoh bukanlah kelihatan bodoh sampai meleleh-leleh liur, tetapi bodoh ini adalah satu keadaan tidak mengetahui sesuatu. Bila sesi belajar bermula, maka sedarlah diri bahawa aku ini bukan apa-apa, barulah terpacul dari mulut: ah, begini rupanya.. Oh, begitu.. Patutlah.

Jangan pernah berhenti belajar kerana belajar itu akan menunjukkan bahawa anda adalah orang yang suka memperbaiki kejahilan diri dan berusaha untuk menjadi lebih baik dari hari ini.

Mulakan dengan ilmu aulawiyyat, Aqidah, Fiqh dan Akhlak kemudian barulah susuli dengan ilmu yang lain. Baca kitab dari asasnya, jangan pula memulakan langkah dengan terus kepada kesimpulan hanya kerana mahu memberi jawapan kepada orang lain. Amalkan sikap jawab jika tahu dan katakan tak tahu jika anda tidak tahu.

Contohi Imam Malik yang disoal beberapa soalan, hampir separuh dijawabnya : ' la adri ' (aku tidak tahu). Kerana berlagak tahu apa yang kita tidak tahu adalah tanda kebodohan yang paling jelas.

Sabda Rasul : "maka bercakaplah dengan perkataan yang baik-baik atau kamu diam sahaja"

Akhir kata, sama-samalah kita menjadi orang yang bersedia untuk jadikan diri manusia ini bukan sekadar manusia biasa-biasa, lonjakkan pecutan adrenalin untuk peningkatan tahap manusia luar biasa, anda mampu mengubahnya.

P/s : Tulisan ini adalah untuk diri sendiri dan siapa yang sudi.

2 comments:

  1. Zaman sekarang telah ramai orang yang jahil namun sedikit sekali orang yang alim. Sekalipun ada orang yang alim namun sedikit juga orang yang beramal dengan ilmunya. Sekalipun ada orang yang beramal dengan ilmunya namun sedikit juga orang yang ikhlas pada amalannya. Sekalipun ada orang yang ikhlas beramal namun sedikit pula orang yang istiqamah.

    ReplyDelete

Terima kasih mengomen! Jangan segan-segan untuk meninggalkan perkataan di sini.