Followers

3.06.2011

Bahas Ucaptama Presiden Buat Pertama Kali

Jumaat lepas, seluruh rakyat Malaysia Yaman yang ambik perhatian, ada dua perkara besar yang berlaku di Sana'a. Satu fatwa Syeikh Majid Zindani yang menyeru kepada semua rakyat Yaman yang cintakan keadilan untuk turun bermuzaharah di Dairy. Kedua yang melibatkan rakyat Malaysia khususnya ahli persatuan tunggal di sini, PERMAYA untuk turun bermuktamar dengan tema yang menjadi bualan orang iaitu "Menuju PERMAYA Baru".

Saya mungkin menceritakan tentang perkara kedua kerana saya rakyat Malaysia dan saya merasakan bahawa saya mempunyai lebih keutamaan untuk bersama para muktamirin berbanding bersama demonstran di dataran Jamie' Jamiah di Dairy. Bukan kerana tidak cintakan keadilan. Saya cintakan keadilan, saya bersama perjuangan marhaen di sini, namun medan mereka lebih utama untuk mereka, medan saya untuk bersama-sama perjuangan di Malaysia.

Justeru, saya memilih untuk bersama rakyat Malaysia di dewan hospital USTY bagi membahas, membincang, menegur dan memberikan yang terbaik dalam memastikan PERMAYA berjaya menjadi PERMAYA yang benar-benar bermaya dan segar.

Ini kali pertama saya bermuktamar di sini. Namun saya dapat rasakan satu usaha untuk melonjakkan PERMAYA sedang dilakukan oleh pimpinannya. Saya menyokong perubahan tersebut. Ke arah kebaikan pastinya.

Kelmarin terlalu banyak cadangan untuk PERMAYA, semuanya dalam usaha untuk menyegarkan kembali PERMAYA. Namun saya tetap mengenengahkan 2 perkara penting iaitu pembinaan pelapis dan pembentukan ahli yang faham. Dapat memegang dua perkara ini, PERMAYA pasti mampu merobek kelemahan lama dan menonjol dengan kesegaran yang baru.

Perkara yang menjadi masalah bagi setiap gerakan adalah kegagalan menyediakan pengganti yang baik dalam meneruskan kecemerlangan. Jangan khuatir, ianya bukan sahaja melanda persatuan kecil seperti PERMAYA, bahkan dinasti sebesar Parsi yang mana dunia berlutut lebih seribu tahun kepadanya juga mengalami hal yang sama. Anushirwan, maharaja Parsi yang cemerlang dalam mengangkasakan bangsa dan tamadunnya di dunia turut mengalami hal sama bila penggantinya tidak mampu untuk mengekalkan kehebatannya sehingga gah Parsi mula pudar hari demi hari.

Ianya lumrah, namun jika kita mengalah dengan mengatakan bahawa nanti akan tiba masanya kehebatan ini akan pudar, maka kita telah menyerah sebelum musuh berpencak. Fikiran kita harus besar. Himmah kita harus tinggi. Jangan lupa kata-kata bahawa himmah pemuda mampu menerobos gunung. Itu kekuatan kita.

Justeru, bermula dari sekarang proses membina tenaga sumber manusia perlu diperkuatkan. Apatah lagi ianya membabitkan pelaksanaan matlamat besar ini. Pemimpin semata-mata tidak mampu untuk menggapainya tanpa bantuan pendokong.

Perkara yang kedua adalah menyebarkan matlamat ini kepada para ahli agar masing-masing dapat memahami matlamat ini. Tidak hanya mendengar ucapan dasar dan terhenti di situ sahaja.

Memberi kefahaman kepada ahli tentang matlamat ini adalah sebahagian dari usaha mencapainya. Ahli yang tidak memahami akan tidak mengetahui tanggungjawab mereka dan tidak tahu berperanan dalam usaha ini.

Kisah saidina Ali dan rakyatnya harus dijadikan iktibar betapa ahli yang tidak berperanan akan membawa kepada kelemahan negara. Saidina Ali di waktu pemerintahannya telah didatangi seorang lelaki dari kalangan rakyatnya dan mempertikaikan bahawa zaman pemerintahannya penuh dengan fitnah, tidak seperti di zaman khalifah sebelumnya.

Saidina Ali menjawab dengan jawapan yang tegas dan padat. "Rakyat di zaman khalifah-khalifah sebelum aku mempunyai rakyat seperti aku. Tetapi zamanku ini rakyatku adalah sepertimu".

Selain dari dua faktor di atas, kepimpinan tidak dapat tidak perlu menjadi orang yang cepat belajar keadaan sekeliling. Jangan ulangi frasa saya tidak layak hingga membantutkan kerja. Perlu lebih proaktif kerana ahli akan terpengaruh dengan semangat pemimpin, apatah lagi jika mereka dipimpin oleh orang yang optimis dan proaktif. Kepimpinan melalui pengaruh pasti tidak akan mengecewakan.

Apapun, saya merasakan pemilihan "Menuju PERMAYA Baru" sebagai hadaf pada muktamar kali ini boleh dikatakan agak tepat dengan keadaan sekarang. Saya tidak harapkan yang lain selain dari kebaikan dan keberkatan. Mudah-mudahan, matlamat dunia dan akhirat dapat dicapai dengan usaha yang selayaknya. Sekian.

P/s : Sepatutnya, ini adalah ucapan saya pada sesi perbahasan Ucaptama Presiden, namun tak semuanya keluar. Mudah-mudahan ianya dapat menjadi muhasabah bersama.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih mengomen! Jangan segan-segan untuk meninggalkan perkataan di sini.