Followers

3.17.2011

Situasi Hari Ini

Semalam bermula proses evakuasi pertama di Yaman. Seramai 33 orang telah dibawa pulang ke Malaysia dengan penerbangan awam. Ini kerana pesawat TUDM tak diberi kebenaran untuk mendarat di Sana'a International Airport (SIA).

Mengikut maklumat yang saya dapat, permintaan untuk membolehkan TUDM mendaratkan Herculesnya telah 3 kali dibuat dan semuanya dibalas dengan diam dari sebarang jawapan. Tapi jangan pandai-pandai buat hukum kat diam tu tanda setuju. Ini bukan soal nak meminang, ini soal keselamatan dan sekaligus ianya membabitkan reputasi kepimpinan Ali Soleh, Presiden Yaman sekarang.

Lalu, alternatif ketiga digunapakai, bawa keluar dengan kapal terbang biasa.

Orang bertanya, relevan ke buat balik pelajar Malaysia sekarang? Keadaan tak seteruk yang disangka kononnya.

Ini bacaan sayalah, bukan pendirian rasmi mana-mana pertubuhan.

Pertama, Universiti kebanyakannya semakin kurang beroperasi. Ada yang cuti dengan tarikh yang tidak diketahui sampai bila dan ada yang bila pergi pun macam tak ada kelas. Kebanyakan pelajar-pelajar Arab melalui persatuan-persatuan telah menyerahkan surat agar operasi universiti di sini dihentikan bagi memberi laluan kepada mereka menyertai demonstrasi. Jika tidak, mereka boikot kelas. Ini benar-benar terjadi bila U tempat saya belajar, lengang dari warga Arab khasnya Yaman.

Kedua, proses pengeluaran wang yang mula menunjukkan pengurangan tempat ekoran dari kegagalan berfungsi dan juga berhampiran dengan tapak rusuhan. Sekaligus menyulitkan pelajar-pelajar untuk mengambil wang bagi kegunaan harian.

Ketiga, bebas senjata api. Bagi yang tidak tahu, di sini adalah tempat bebas senjata api. Ada orang lama memberitahu, di Sana'a ini baru dua tahun lepas senjata api jarang kelihatan di bahu penduduknya kerana kerajaan mahu mengawal penggunaan tersebut atas sebab-sebab seperti menggalakkan perlancongan, pelaburan dan sebagainya. Jika tidak, ke hulu-hilir mereka berjalan, AK 47 pasti ada di bahu mereka.

Keempat, pengaruh Kabilah dan Ulama'. Kedua-dua ini memainkan peranan penting dalam suasana politik Yaman. Jangan tak tahu bahawa Presiden sekarang adalah berasal dari kabilah yang sangat besar. Kabilah Hasyid namanya. Tapi ada satu lagi kabilah yang dikira boleh mencabar kabilah Presiden sekarang iaitu Ahmar atau Merah. Mereka ini adalah antara dua kabilah paling besar dan berpengaruh di sini. Mereka seperti magnet yang menarik kabilah-kabilah kecil untuk menyertai mereka.

Faktor yang sebelumnya (bebas senjata) tadi boleh dikatakan menjadi penyebab bahawa keadaan boleh bertukar menjadi sangat teruk jika terjadi pertempuran antara penyokong kerajaan dan anti kerajaan berlaku.

Dalam situasi ini, ulama' memainkan peranan yang penting dalam berfatwa dan mengeluarkan hukum-hukum berkaitan demonstrasi dan langkah-langkah seterusnya. Setakat ini, ulama'-ulama' kebanyakannya menyarankan agar para demonstran berdemonstrasi secara aman. Tapi saya tidak fikir keadaan itu berterusan jika tekanan secara terus dibuat kerajaan. Hanya dengan lampu hijau dari ulama', beribu orang sedia untuk syahid. Mereka telah lama merindukannya.

Justeru, langkah-langkah awal seperti membawa pulang rakyat Malaysia di sini oleh kerajaan adalah satu langkah berjaga-jaga yang bijak. Sekian

*P/s: Kalau boleh biarlah aman dan damai secepat mungkin, umur dah tua, belajar masih takuk tu jugak. Hehe

**P/s: Rasanya Yaman agak lain dari negara yang lain.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih mengomen! Jangan segan-segan untuk meninggalkan perkataan di sini.