Followers

5.30.2009

Sehampeh-hampeh Rumah! (I'jaaz Ilmi-siri 1)

مَثَلُ الَّذِينَ اتَّخَذُوا مِن دُونِ اللَّهِ أَوْلِيَاء كَمَثَلِ الْعَنكَبُوتِ اتَّخَذَتْ بَيْتاً وَإِنَّ أَوْهَنَ الْبُيُوتِ لَبَيْتُ الْعَنكَبُوتِ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ
Perumpamaan orang-orang yang mengambil pelindung-pelindung selain Allah adalah seperti labah-labah yang membuat rumah. dan Sesungguhnya rumah yang paling lemah adalah rumah labah-labah kalau mereka Mengetahui.

Dalam muhadharah (kelas) Tafsir Maudhu'ie oleh ustaz Nik Mohd Noor Khamis lalu, beliau membawakan satu artikel tentang I'jaz berkenaan ayat di atas. Katanya, artikel ini ditulis oleh sahabatnya sewaktu beliau berada di Yaman dulu. Sesiapa yang berminat untuk membaca versi asal berbahasa arab, boleh klik di sini.



Auhanal Buyut

(أوهن) menurut pengertian bahasa adalah bermaksud lemah. Makna ini tiada khilaf lagi di kalangan ulama'. Maka boleh ia dikatakan lemah dari semua sudut samada, infrastukturnya, keselamatannya, ketahanannya dan sebagainya. Kata al-Farahidiey, al-wahnu juga bermaksud lemah dari sudut kerja dan lemah dari sudut jasmani. Beginilah yang dimaksudkan dengan al-wahn.

Dalam ayat ini disebut rumah atau habitat labah-labah. Lalu, ia menyebabkan kita berfikir kenapa disebut rumah tidak disebut benang atau jalinan sarang itu sendiri? Dari penemuan sains, labah-labah mempunyai benang yang dihasilkan dari tubuhnya sendiri dan ianya sememangnya satu mekanisma yang sangat-sangat kuat sehingga dapat menampung berat badannya yang berpuluh-puluh atau mungkin beratus-ratus kali ganda saiz benang itu. Sifirnya secara mudah, umpama kita berpaut pada tali jenis rafia pada keberatan 50Kg. Tali itu akan putus, tetapi benang labah-labah tidak.

Nisbah sehelai benang yang dibuat oleh labah-labah yang biasanya bersarang di rumah kita adalah 1 per 4000 sehelai rambut. Ini bermakna kita memerlukan 4000 helai benang itu untuk menyamai skala ukur lilit sehelai rambut!

Namun, dengan bahan sekuat itu, labah-labah tetap dikelaskan oleh Allah sebagai binatang yang mempunyai habitat yang paling kopeh bak kata orang Terengganu. Mana tidaknya, sarang labah-labah boleh sahaja dihancurkan oleh angin, tidak dapat menahan air dan berbagai jenis serangan alamiah yang lain. Kerana itu Allah menggunakan perkataan rumah dan tidak benang kerana labah-labah bersifat menggunakan benda yang kuat untuk menghasilkan sesuatu yang bersifat lemah. Itulah Auhanal buyut.

Tafsiran Mufassirin

Jika kita membaca ayat ini, mungkin secara dasarnya kita telah mengetahui apakah yang dikehendaki di sini. Allah membandingkan kebergantungan kita, manusia kepada sesuatu yang selainnya adalah sesuatu yang bersikap dangkal. Ianya umpama berlindung dengan sesuatu yang tidak dapat memberi perlindungan. Maha Hebat Allah yang membuat perbandingan dengan jelas sehingga kita tidak terkial-kial mencari apakah yang dikehendakiNya pada ayat itu.


Dr. Wahbah menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah

Dalam Tafsir al-Munir karangan Dr. Wahbah Az-Zuhaily yang dianugerahkan tokoh Maal Hijrah Kebangsaan oleh kerajaan Malaysia awal tahun hijrah lalu berkata : Maksud ayat ini adalah berkenaan sikap golongan Musyrikin yang mengambil berhala sebagai tuhan mereka dan mereka mengharapkan pertolongan, jaminan rezeki, mendapat manfaat dan meneguhkan kepercayaan mereka ketika dilanda kesusahan adalah umpama labah-labah yang menggunakan sarangnya dari serangan sejuk, panas, kering dan basah sedangkan ia tidak memperoleh manfaat langsung dari sarangnya itu. Apabila angin bertiup, sarangnya itu pasti akan rosak tanpa jaminan ianya kekal bertahan. Sila rujuk jilid 20, mukasurat 244.

Begitulah sifat orang-orang yang syirik kepada Allah yang tiada jaminan bahawa mereka akan mendapat faedah daripada benda yang mereka agung-agungkan, tidak akan mendapat guarantee untuk melindungi mereka dari bencana. Maka perbuatan mereka itu adalah satu perkara yang sia-sia.

Sebagai tambahan, buka minda kita agar apabila kita menyebut berhala ini, kita tidak memandang kepada batu, kayu dan patung sahaja bahkan ianya juga termasuk orang yang kita serahkan kebimbangan dan masa depan kita kepada mereka seperti parti pemerintah, ketua-ketua jabatan, menteri-menteri yang boleh menukar mereka yang mengajar J-Qaf sesuka hati serta mereka-mereka yang mempunyai kuasa. Mereka tidak mengiktiraf diri mereka sebagai berhala sebagaimana patung-patung batu yang diam tatkala disembah akan tetapi kitalah yang menjadikan mereka berhala kerana takutkan kuasa mereka. Sila ambil perhatian.

Tafsiran Hasilan Sains

Allah menyuruh makhlukNya supaya menjadi orang yang berfikir dan mudah-mudahan dengan kecenderungan kita berfikir mengenai alam ini, Allah akan meneguhkan iktikad kita serta menambah keimanan kita dalam meyakini kekuasaanNya.

Dulu, ahli-ahli tafsir masih belum terdedah dengan kajian-kajian secara sains, ianya mula berkembang hanya beberapa abad ini. Saya merasakan, jika ulama'-ulama' dahulu hidup di zaman kita ini, nescaya dunia Islam pasti lebih jauh mendahului kemajuan yang didahului barat zaman sekarang.

Dalam tidak terdedah dengan kajian mendalam tentang sains pun, mereka telah berjaya membuat kesimpulan berdasarkan tawakkal dan ilmu mereka dan banyak teori-teori yang dikeluarkan oleh mereka bertepatan dengan natijah sains yang ditemui pada hari ini.

Oleh itu, dalam menafsirkan ayat ini secara saintifik, biarlah natijahnya ini tidak menenggelamkan kesungguhan mufassirin dahulu apatah lagi untuk mengatakan ketidakmampuan mereka dalam memberikan tafsiran yang lebih luas dari yang ada sekarang. Tujuannya adalah satu, iaitu agar kita sentiasa membumikan tapak kita berdiri dan tidak menerawang terbang dalam khayal mengagumi penemuan kita dari segi sains. Biarlah natijah ini menjadi penyeri dan nilai tambah untuk lebih memahami al-Quran.

Sifat Labah-Labah

Labah-labah adalah haiwan yang menyediakan habitatnya dari bahan-bahan yang diambil dari badannya sendiri. Benang yang dikeluarkan badannya merupakan satu bahan mampat yang sangat kuat. Andainya ada seekor labah-labah yang besar dan mampu mengeluarkan benang yang mempunyai ukur lilit sebesar 1 inci, maka kekuatannya jika dibandingkan dengan kabel besi adalah melebihi sebanyak 20 kali ganda. Tiada masalah untuk mengangkat sebuah pesawat Jumbo.


Pesawat Jumbo

Benang yang dikeluarkan oleh labah-labah juga bersifat elastik dan fleksibel. Benang labah-labah yang panjangnya satu inci boleh ditarik hingga mencapai kepanjangan 5 inci sebelum ianya putus. Maka ini adalah satu mekanisme yang kuat untuk dibuat sebagai tempat perlindungan. Tetapi hakikatnya tidak begitu.

Labah-Labah Betina Yang Memanipulasi

كَمَثَلِ الْعَنكَبُوتِ اتَّخَذَتْ بَيْتاً
Jika diperhatikan disini, Allah telah memberitahu kita bahawa kuasa labah-labah betina adalah melebihi kekuasaan si jantan. Ianya dapat dikesan dengan penggunaan ganti nama untuk perempuan iaitu pada اتَّخَذَتْ dan tidak digunakan ganti nama lelaki.

Lalu ianya dikuatkan lagi melalui kajian sains bahawa kontraktor yang membuat sarang labah-labah semuanya adalah yang berjantina betina. Labah-labah jantan tidak mempunyai autoriti untuk membuat rumah. Bahkan tugasnya tidak lebih dari penyumbang benih untuk meneruskan zuriat. Selepas itu ia akan dimakan oleh si betina. Labah-labah yang berkecenderungan melakukan perkara itu adalah dari jenis Black Widow dari Afrika.


Black Widow
Si jantan tidak punya peranan yang besar melainkan membantu dalam proses pengembangan zuriat sahaja. Kerana itu, labah-labah jantan hanya menumpang sahaja di sarang betina dan berkemungkinan besar akan menjadi santapan kepada labah-labah betina. Begitulah keadaannya sehingga bila-bila pun. Kebiasaannya, labah-labah jantan adalah lebih kecil jika dibandingkan dengan yang betina.

Selepas melahirkan anak, ibu labah-labah ini kadang-kadang memakan anaknya sendiri jika tiada makanan lain. Begitu juga dengan anak-anak ini yang gemar memakan sesama sendiri jika ibunya tidak memperolehi makanan. Kebiasaannya, ia berlaku ketika labah-labah ini masih lagi tinggal di dalam kantung yang dibuat untuknya dan mereka tinggal secara beramai-ramai.

Saya tidaklah mempunyai autoriti untuk membuat penelitian yang lebih dalam perkara ini. Hanya sekadar melalui proses bacaan dan melihat dokumentari yang telah dibuat orang. Hanya penelitian asas sahaja. Jadi untuk mengelaskan spesis mana yang berperangai begitu, saya memang tidak layak, noktah.

I'jaznya Adalah..

Jika dulu, ulama mufassirin menafsirkan bahawa perumpaan ini adalah untuk mereka yang menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain. Tapi sains hari ini, menjadikan ayat tersebut lebih luas maknanya dengan menjadikan sifat labah-labah itu sendiri dan bagaimana ianya berkait dengan kehidupan manusia akibat dari membelakangkan Tuhan Yang Maha Esa.

Allah bukan sahaja menumpukan kepada aspek pembinaan dan kelemahan sarang semata-mata. Bahkan ianya juga turut mengenengahkan gaya hidup labah-labah itu sendiri. Baik, saya membuat natijah mudah :

Labah-labah betina membuat sarang = Wanita yang menguasai kehidupan

Labah-labah jantan menumpang dan menjadi teman ketika mengawan sahaja = Lelaki berkelakuan dayus dan malas serta tiada lagi keizzahan sebagai ketua keluarga.

Ibu labah-labah memakan anak-anaknya dan anak-anaknya memakan sesama sendiri = berlaku kekecamukan dalam institusi kekeluargaan. Tiada lagi kepercayaan sesama keluarga.

Kesemua perbandingan di atas adalah hasil dari keengganan manusia menerima Allah sebagai tuhan. Keengganan mereka itu tidak semesti dizahirkan bahawa mereka ada tuhan lain selain Allah, akan tetapi cukup dengan mereka tidak meyakini kuasa Allah dan mereka berharap dengan makhluk.



Solat ditinggalkan kerana Tv, maka berhala kita adalah TV.
Zakat tidak dibayar kerana ekonomi tak stabil, maka berhala kita adalah ekonomi.
Hudud tidak dilaksana kerana bimbang tiada kemajuan, maka berhala kita adalah kemajuan.
Ikhtilat tidak dijaga kerana sayangkan kekasih, maka berhala kita adalah kekasih kita sendiri.

Jika semua ini berlaku, maka institusi kekeluargaan kita pasti akan berantakan dan tidak tenteram. Jika ini semua berlaku, nescaya tiada lagi kasih sayang suami isteri. Jika ini semua berlaku, maka akan hilanglah kekuatan lelaki untuk memimpin keluarga. Oleh itu, marilah kita berserah diri kepada Allah dan bersama-sama mengamalkan apa yang diperintahkan dan meninggalkan apa yang dilarangnya. Semoga kita tergolong dalam golongan orang yang mengambil iktibar.

2 comments:

Terima kasih mengomen! Jangan segan-segan untuk meninggalkan perkataan di sini.