Bermula Khamis baru-baru ini, saya dijemput untuk mengendalikan satu program khas untuk pelajar sekolah-sekolah rendah Islam negeri Terengganu yang diadakan saban tahun anjuran lajnah hubungan luar. Dengan nama Kem PIMPIN, program ini saya tidak ikuti dari awal kerana berlaku pertembungan urusan antara program ini dan urusan peribadi. Saya hanya hadir pada hari Jumaat keesokannya dan bersama-sama jawatankuasa penganjur hingga ke akhir program.
Lama benar tidak mengisi program yang disertai dengan kanak-kanak. Kesabaran, kekreatifan dan kemesraan amat diperlukan. Sifat seorang ayah teruji benar bila mengendalikan program yang pesertanya jarang sekali meninggalkan rumah dalam masa yang lama. Dalam program ini, sewajarnya saya berterima kasih kepada sahabat saya Hadi dan partner kerja Ustazah Syuhada yang bertungkus lumus menjayakan program ini agar masa yang diluangkan peserta selama 3 hari berbaloi dengan apa yang diperolehi mereka.
Sehari berada di rumah, tenaga saya diperlukan pula oleh sebuah program anjuran MDQ. Kem Pelajar Harapan yang menghimpunkan pelajar-pelajar yang sedikit nakal untuk ditarbiyah dan diikat dengan nilai akhlak Islam. Walaupun agak mustahil untuk melaksanakan semua itu dalam masa 2 hari 1 malam, saya kira biarlah ianya menjadi permulaan untuk mengikis sikap prejudis kepada orang yang ingin menasihati mereka. Biarlah mereka mampu memesrai golongan-golongan guru, pimpinan pelajar dan pengawas sekolah mereka.
Usrah wajib dijadikan acara penyambung kepada proses mengikat akhlak mereka agar terus terbiasa dengan suasana harmoni seharmoni hutan lipur dan taman pertanian sekayu iaitu tempat program dianjurkan. Sebenarnya, saya lebih terkejut dengan sikap hyper aktif adik-adik banat berbanding adik-adik banin yang lebih tenang dan tidak semeriah adik-adik banat. Apapun, samalah kita mendoakan mereka agar Allah sentiasa melimpahkan hidayahNya kepada kita semua. Saya percaya, mereka adalah insan yang baik tetapi masih tidak ditemui titik kebaikannya.
Balik dari Sekayu, ada satu lagi aktiviti yang begitu menerujakan saya iaitu teater Menunggu Kata Dari Tuhan yang hangat dipentaskan di seluruh negara dengan tiga teraju utama iaitu Dinsman selaku pengarah, Sabri Yunus pemegang watak utama dan musik latar yang dialunkan oleh Sani Sudin.
Malam kesenian Islam anjuran IPTAF Malaysia itu diadakan di dewan Konvensyen di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man. Penuh dewan tersebut dengan hadirin yang kebanyakannya adalah dari pelajar-pelajar sekolah pondok.
Akhir program itu, saya dan Sabri sempat juga berbual-bual dengan saudara Sani Sudin. Sebagaimana yang diluahkan oleh Dinsman dalam Harakah terbaru, beliau juga sependapat bahawa dewan yang terlampau besar memerlukan kelengkapan audio yang hebat agar setiap patah perkataan yang keluar dari mulut pelakon dan setiap alunan sayu dari bunyi gesekan biola itu dapat meresap jauh ke dalam jiwa penonton. Katanya lagi, perkara yang tidak dapat dipisahkan dari budaya melayu adalah membawa anak-anak kecil ke pementasan teater seperti itu. Anak-anak dibiarkan lari ke sana-sini yang sedikit sebanyak akan mengganggu pementasan teater yang sedang berlangsung.
Program saya malam itu berlanjutan hingga ke pukul 1 pagi. Saya dan Sabri pergi ke pantai Batu Buruk untuk bersama-sama sahabat-sahabat lain yang mengadakan majlis jamuan BBQ. Saya lihat masing-masing begitu gembira dengan program-program santai begini. Semoga ukhuwwah ini berkekalan.
Hari ini Program Tamrin Rabi'e Thanawi MDQ, juga diadakan di Sekayu. Saya mohon maaf kerana tidak dapat menghulurkan tenaga untuk program ini kerana tenaga saya perlu diperuntukkan juga di rumah.
No comments:
Post a Comment
Terima kasih mengomen! Jangan segan-segan untuk meninggalkan perkataan di sini.