Followers

8.07.2010

Hikayat Yaman

Ini adalah tulisan yang saya ingin khususkan kepada sahabat saya, Sabri Mamat namanya. Cerita yang bakal saya garapkan dalam tulisan ini adalah berkenaan dengan kelebihan dan kekurangan yang terdapat di negara Yaman. Saya akan menulis dengan mengambil isi dari pengalaman saya sendiri, pengalaman orang lain dan penceritaan dari pihak-pihak yang sering berhikayat di rumah saya. Moga dengan pendahuluan begini, sahabat saya Sabri Mamat akan merasakan bahawa beliau istimewa. Maaf, bukan warga istimewa tetapi punya kedudukan istimewa. Jangan pula disalahtafsir.

Saya mulakan dengan keistimewaan Yaman terlebih dahulu.

Perkara yang menarik yang paling utama yang saya kategorikan sebagai faktor yang paling menyumbang kepada kedatangan pelajar-pelajar dari serata dunia ke Yaman adalah Jamiah Iman. (Ada empat 'yang' dalam ayat diatas)

Saya menilai setelah saya masuk sendiri ke dalam Jamiah tersebut secara kebetulan apabila pulang dari satu tempat menadah kitab yang letaknya hampir benar dengan Jamiah tersebut. Masuk saja di dalamnya bagai dihembus-hembus dengan angin semangat belajar yang datang dari kebanyakan pelajar di situ. Seolah-olah angin tersebut menampar-nampar muka supaya sedar untuk menjadi ulama tidak memadai hanya berangan menjadi ulama. Perlu melalui disiplin yang ketat seperti yang dilalui oleh pelajar-pelajar di sini.

Bermula pada pukul empat pagi dengan menjadikan Quran (hafazan dan tilawah) sebagai permulaan kepada hidup sehari-hari bahkan tanpa dipaksa mereka berduyun-duyun datang hingga ada yang mengatakan jika kita lewat, jangan menyimpan harapan untuk solat subuh di Masjid Jamiah kerana tiada ruang untuk kita solat. Pelajar duduk dengan menyandarkan badan ke badan sahabat yang lain. Bukan soal masjid tidak besar. Masjid tersebut boleh menampung bilangan 6000 jemaah tetapi jika halaqah Quran sudah dimulai maka sembahyanglah kita di luar masjid.

Lupa untuk memberitahu pada awal hikayat tentang Jamiah Iman, tujuan Universiti ini ditubuhkan adalah untuk melahirkan ulama. Jika 7000 pelajar, maka 7000 lah yang bakal menjadi ulama'. Jamiah ini juga adalah percuma dari segala segi samada yurannya, makanannya (tidak termasuk yang berniaga di dalamnya), airnya, letriknya, asramanya malah bagi pasangan yang berkahwin, disediakan pula rumah dengan dihantar pula gandum, beras dan barang-barang dapur yang lain setiap bulan.

Saya kagum dengan kesediaan pengasasnya yang bersungguh-sungguh hingga boleh memberikan semua itu dengan percuma dengan harapan setiap manusia yang keluar dari situ menjadi manusia yang luar biasa dan saya percaya mereka yang keluar dari situ benar-benar luar biasa. Quran 30 juzuk sudah mesti dihafal dan yang lebih hebat hadith-hadith dari kitab Shahih Muslim lancar juga dijawab saat ditanya. Mereka menghafaznya bukan terkial-kial melihat kitab saat ditanya.

Saya jika duduk berseorangan, saya berfikir macamana mereka melakukan itu semua. Madah-madah mereka jika imtihan, semuanya dari kulit hadapan hingga ke kulit belakang. Tiada langsung hint-hint yang diberi oleh pensyarah mereka. Pernah juga pelajar-pelajar mereka meminta ringkasan ataupun spot soalan, pensyarah mereka menjawab, "jika bukan jamiah ini ditubuhkan untuk melahirkan ulama', pasti sebelum kamu meminta ringkasan lagi aku sudah memberikannya. Tapi ini Jamiah Iman, setiap yang keluar wajib menjadi Ulama! ".

Sumber dari seorang kawan katanya setiap dalih yang diberi oleh pelajar-pelajar dijawab hanya dengan Al-Quran, Sunnah, kata-kata sahabat, kata-kata ulama ataupun kisah-kisah auliyaa'.

Yang kedua, barangkali boleh menarik minat sahabat saya Sabri Mamat. Sikap masyarakat yang ingin membantu dan sekaligus merombak persepsi pertama selepas kita mula bercakap dengan mereka. Setiap kali kita bertutur dengan bahasa Arab yang tidak tepat, mereka membetulkan terus tanpa meremeh-remehkan kita. Bonusnya, mereka sangat menyanjungi Malaysia dan seringkali kita diberi layanan istimewa. Untuk ini saya berterima kasih kepada Tun Dr. Mahathir kerana orang arab ini cukup alah dengan nama tersebut.

Pernah satu ketika, saya ke kedai dan meminta satu barang dan saya menyebut kuantitinya dengan salah. Terus saja tuan kedai itu membetulkan dan yang menarik, dibaca pula keratan dari matan Ajrumiyyah tentang i'rab muthanna (kuantiti dua). Saya senyum kagum+malu.

Tapi dalam perkara ini, ada satu perkara yang membantu iaitu banyakkan husnu zhon dan berkawan pula dengan orang yang jarang sekali suu' zhon dengan orang Arab kerana bimbang jika kita selalu suu' zhon akan menimbulkan kekhuatiran yang tidak tentu punca. Dalam kepala selalu beranggapan bahawa Arab penipu, jahat dan sebagainya. Saya akui, memang ada yang menipu, tapi bukan semua. Satu ilmu yang saya pelajari dari kawan, Arab ini berjiwa lembut, lawan kejahatan yang dibuat itu dengan cara lembut iaitu bacakan hadith atau Quran bahkan ada ketika dari sejahat Iblis mereka boleh saja menitiskan airmata dan mencium tangan kita meminta maaf.

Yang ketiga, kelebihan yang ada pada masyaikh (ulama') yang tinggal di sini harus bahkan wajib diutamakan. Pergi belajar di rumah, di masjid, di maktabah bahkan di mana saja, pasti ada tuan-tuan guru yang cukup alim menanti kita. Saya sendiri baru saja mengikuti pengajian Syeikh Sulaiman al-Ahdal, seorang alim yang sudah tua dan selamba. Mengajar dengan hanya memakai kain pelekat dan baju panas lengan panjang dengan lilitan serban yang menyebabkan kombinasi serban tersebut dan mukanya mendatangkan kesejukan kepada mata yang melihat.

Beliau merupakan antara ulama tersohor Yaman yang turut menandatangani sebarang fatwa yang dikeluarkan oleh majlis ulama' Yaman. Majlis yang dikepalai oleh Syeikh Imrani yang menurut ceritanya sempat dengan Imam Syaukani, Syeikh Abdul Majid Zindani, Syeikh Dr. Hassan al-Ahdal dan ramai lagi ulama'-ulama' terbilang.

Syeikh Sulaiman ini cukup merendah diri. Jika difikirkan, kenapa bersusah payah mendengar orang-orang seperti saya membaca kita dengan baris lintang pukang sedangkan boleh saja beliau menyuruh anak-anak muridnya yang sudah punya PHD untuk mengajar saya dan kawan-kawan. Tapi beliau ini lain, sudi mendengar walaupun banyak kali terpaksa membetulkan kesalahan yang sama. Bahkan jika tidak hadir ke kelasnya, dihubungi pula kita bertanya asbab kenapa tidak hadir, sihatkah kita, demamkah kita. MasyaAllah. Sifat cakna yang menyebabkan muridnya merasa malu untuk tidak hadir ke kelasnya.

Bersambung...

6 comments:

  1. mantap, matang, bersungguh dan bersemangat...cite nta ni membuatkan ana jadi lebih bersemangat nak belajar dgan bersungguh2...dan rasa lebih bersemangat nak belajar di jameah iman...doakan ana dapat sampai belajar di sana.

    ReplyDelete
  2. To MP - Alhamdulillah.. Moga Allah kekalkan keuntungan dan panjangkan istiqomah kesungguhan kita semua.

    To KK - InsyaAllah, ana selalu doakan kawan-kawan ana. Terima kasih ustaz Khairul At-tulusi.

    ReplyDelete
  3. salam,mat..alhamdulilh..ni bru aku berpeluang baca posting mg...hari selase sapa mesia,kahamis mlm naik KL,pg mareng bru sapa trg..he...mf lmbt baca..lgpun aku jugk yng mintk mg cerite pasal yaman...tp yang buat trkilan...bkpe la mg g wak tajuk g2,dh la mg letk kt status FB???haha...xdk la...ikut mg la mat eh..
    k,pasal cerite mg ni..memang buat aku teransang jugk la..terutama ayat ni, "Masuk saja di dalamnya bagai dihembus-hembus dengan angin semangat belajar yang datang dari kebanyakan pelajar di situ". he..gaya bahasa mg ni jd koho mantap dh...mat,aku akan tunggu sambungan cerite mg yng seterusnya..sempena bulan pose ni..aku sentiasa brharap, ALLAH akan memandu kite ke jalan yng sepatutnye...amin...

    ReplyDelete
  4. Time kasih r ri.. Sama2 kite memantapkan diri masing2.. Lama dah duk tunggu hasil dari Suara Pen Aku

    ReplyDelete
  5. haha..x payah tunggu r blog aku tu...

    ReplyDelete

Terima kasih mengomen! Jangan segan-segan untuk meninggalkan perkataan di sini.