Followers

6.01.2009

Kisah Muhammad Si Penakluk

Seperti yang saya ceritakan pada posting sebelum ini, saya begitu terpesona dengan kehebatan empayar Islam terutamanya era Uthmaniyyah. Mungkin disebalik empayar terakhir Islam ini, ramai yang telah menyingkap rahsianya dan menukilkan kehebatannya. tapi, biarlah saya juga turut meletakkan nama saya sebagai pengagum dan seterusnya menjadikan empayar Uthmaniyyah ini sebagai motivasi untuk mengembalikan Islam ke persada alam.

Di dalam Empayar Uthmaniyyah terdapat satu zaman yang boleh dikatakan zaman yang terbaik selepas era Nabi dan Para Sahabat. Zaman yang membenarkan hadith Nabi s.a.w tentang pembukaan kota Kostantinaple yang menjadikan si pembukanya adalah sebaik-baik ketua dan tentera.

Sultan Muhammad al-Fatih

Sultan Muhammad al-Fatih

Beliau merupakan putera kepada Sultan Murad dan Permaisuri Aisyah yang mendapat didikan agama dari kecil lagi. Seawal usia 5 tahun, beliau telah didedahkan dengan ilmu agama dan ilmu ketenteraan. Kedua-dua ilmu ini menjadikan beliau lebih bersedia menerima tanggungjawab memangku jawatan ayahandanya ketika berumur 16 tahun dan mengambil alih jawatan ayahandanya ketika berumur 19 tahun.

Motivasi dari hadith nabi begitu membantu beliau dalam membuka Kota Kostantinaple sehinggakan beliau kerap juga turun memerhati perihal rakyat dan tenteranya samada rakyatnya itu adalah terdiri dari rakyat yang baik atau tidak.

Menyamar Menjadi Si Pekak dan Bisu

Ketika beliau menjadi Raja, beliau pernah menguji rakyatnya untuk mengetahui mereka ini adalah rakyat yang baik atau tidak. Baginda menyamar sebagai orang pekak dan bisu. Baginda mengetuk rumah rakyatnya yang miskin dan menggunakan bahasa isyarat beliau menyatakan bahawa beliau tiada tempat bermalam.

Isteri tuan rumah itu berkata kepada suaminya bahawa makanan di dalam rumah ini hanya cukup buat mereka berdua sahaja. Suaminya terdiam, lalu ia berkata " Sultan Muhammad menyuruh kita melakukan perkara yang baik dan menghormati tetamu, kita mesti menerima tetamu ini dan melayannya dengan apa yang kita ada"

Sultan Muhammad ketika itu begitu terharu dengan jawapan yang dikeluarkan oleh rakyatnya itu. Baginda dipelawa untuk bermalam di situ dan pada malamnya, tuan rumah itu menyembelih kambing peliharaannya untuk menjamu sultan Muhammad yang menyamar menjadi si bisu dan pekak tadi. Selepas kambing itu dimasak, sekali lagi Sultan Muhammad terdengar perbualan antara tuan rumah tadi dengan anaknya. Si ayah menyuruh anaknya itu menghantar lauk-lauk itu ke rumah jiran sebelah, kerana teringatkan sabda Nabi s.a.w yang menyuruh membahagikan lauk yang dimasak ke rumah tetangga kerana khuatir bau masakan itu sampai ke rumah jiran-jirannya itu sedangkan makanan tidak dikongsi sama. Sultan Muhammad tersenyum gembira bahawa rakyatnya ini adalah rakyat yang baik berbeza dengan rakyat sewaktu pemerintahan ayahnya dulu.


Gambaran Sultan Muhammad al-Fatih memasuki kota Kostantinaple

Ketika berusia 20 tahun, Sultan Muhammad al-Fatih memimpin 250 ribu tentera dalam misi menawan kota Kostantinaple. Walaupun baginda mempunyai kira-kira 500 ribu tentera, akan tetapi baginda tidak mengerahkan semua tenteranya untuk menyertai kempen menawan Kostantinaple. Ini kerana kuantiti bukanlah ukuran akan tetapi kualiti yang menjadi pertaruhan. Baginda memilih tenteranya berdasarkan rekod solat dan ketaatan kepada agama.

Baginda memecahkan tenteranya kepada 5 kumpulan yang setiap satunya memiliki 50 ribu tentera. 4 kumpulan melalui jalan darat dan 1 kumpulan melalui jalan laut. Pada perang inilah meriam mula diperkenalkan. Penciptanya adalah seorang kristian yang kemudiannya memeluk Islam disebabkan keadilan yang ditunjukkan oleh Sultan Muhammad dalam pentadbirannya. Beliau bernama Urban, syahid akibat meriam yang dikendalikannya meletup akibat kepanasan. Selepas itu tentera Islam mengambil inisiatif melumurkan minyak zaitun setiap kali selepas satu tembakan.

Strategi Perang Terbaik Dunia


Kedudukan tentera muslimin pada waktu itu.

Strategi perang yang digunakan oleh baginda adalah berpandukan peperangan Rasulullah s.a.w. Apa yang menarik adalah keazamannya untuk menawan Kostantinaple membawa kejayaan untuk melayarkan kapal di atas daratan selepas berkali-kali gagal untuk merempuh masuk ke perairan Kostantinaple yang dihalang oleh rantai sebesar satu pemeluk yang direntang sepanjang laluan masuk ke perairan itu.

Baginda meminta supaya tentera-tentera baginda untuk bermunajat agar Allah menurunkan pertolongan kepada kaum muslimin. Akhirnya, dalam masa semalaman, sebanyak 70 buah kapal telah berjaya dilabuhkan di perairan Kostantinaple. Ini mengejutkan semua pembesar-pembesar dan raja Kostantine sendiri. Paderi mereka pula mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan Sultan Muhammad al-Fatih adalah menepati ramalan kejatuhan Kostantinaple iaitu apabila kapal belayar di daratan.


Laluan darat bagi kapal-kapal tentera Uthmaniyyah

Strategi ini diakui adalah strategi perang yang terbaik di dunia !

Untuk lebih mengetahui tentang Sultan Muhammad al-Fatih ini, saya sarankan sahabat-sahabat mendapatkan buku karangan Latip Talib ini. Ini bukan promosi produk, tetapi promosi ilmu. Sekian.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih mengomen! Jangan segan-segan untuk meninggalkan perkataan di sini.